Home Dunia AS juga bertanggungjawab dengan kehilangan Khashoggi – Putin

AS juga bertanggungjawab dengan kehilangan Khashoggi – Putin

Donald Trump dan Vladimir Putin

SOCHI – Russia membuat dakwaan baharu bahawa Amerika Syarikat (AS) juga perlu dipertanggungjawabkan dengan tragedi yang telah menimpa Jamal Khashoggi.

Agensi melaporkan, Presiden Vladimir Putin mendakwa, AS tidak boleh lari daripada hakikat untuk mengambil tanggungjawab dengan nasib wartawan berketurunan Arab Saudi itu.

Jelas Putin, Khashoggi sudah menetap di AS sejak dua tahun lepas.

Bagaimanapun,  sehingga kini tidak ada sebarang bukti jelas yang membuktikan AS terlibat dengan kehilangan dan juga spekulasi kematiannya.

“Setahu yang saya maklum, wartawan Arab itu sudah menetap di AS. Ini sendiri telah memberi tanggungjawab kepada AS untuk galas sedikit sebanyak tanggungjawab apa yang berlaku kepadanya,” kata Putin hari ini.

Tambah Putin, setakat ini negara itu tidak mempunyai sebarang pendirian berhubung insiden itu, malah tidak dapat menjejaskan sebarang hubungan kerana belum ada apa-apa bukti kukuh yang mengaitkan Riyadh terlibat secara langsung dengan kehilangan Khashoggi.

Kenyataan Putin dikeluarkan ketika Menteri kanan Barat menarik diri daripada menghadiri persidangan pelaburan besar-besaran di Arab Saudi susulan kehilangan Khashoggi menjadi perhatian dunia.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin berkata, beliau akan membuat keputusan sama ada untuk menghadirinya atau tidak, dengan Presiden Donald Trump tetap mempertahankan sekutunya itu.

Turki sebelum ini menegaskan mereka percaya Khashoggi amat lantang mengkritik Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman, telah dibunuh di bangunan konsulat itu pada 2 Oktober lalu dan mayatnya sudah dialihkan.

Namun, Arab Saudi menafikan dakwaan tersebut.

Dalam pada itu, Presiden AS, Donald Trump memaklumkan beliau kini menunggu Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo pulang dari Riyadh dan Istanbul untuk me­laporkan maklumat terperinci mengenai kehilangan Jamal.

Trump yang menjalin hubu­ngan baik dengan Riyadh dan Putera Mohammed, 33, memaklumkan sudah meminta Turki menyerahkan rakaman audio atau video yang membuktikan Jamal dibunuh serta mayatnya dikerat.

jamal
Jamal Khashoggi. foto Agensi

Akhbar pro kerajaan Turki, Yeni Safak membuat dakwaan ada maklumat rakaman audio tersebut termasuk dakwaan wartawan itu dibunuh dalam tempoh beberapa minit dengan jari tangannya dipotong sepanjang soal siasat berjalan sebelum dibunuh dan mayatnya dikerat kepada beberapa bahagian.

Sumber pegawai Turki berkata, kemungkinan mayat wartawan itu sudah ditanam di sebuah kawasan hutan. – Malaysia Gazette