Home Politik Hadi puji langkah pemerkasaan negeri KSP RMK11

Hadi puji langkah pemerkasaan negeri KSP RMK11

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang.

MARANG – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan langkah pemerkasaan kerajaan negeri melalui pengagihan kuasa pusat yang dibentangkan dalam Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-11 (RMK) oleh Perdana Menteri adalah contoh diplomasi sebenar.

Beliau berkata PAS menyambut baik perkara itu kerana ia akan meningkatkan hubungan baik di antara kerajaan pusat dan negeri sekali gus mengembalikan semula semangat federalisme yang terhakis selama ini.

“Saya amat mengalu-alukan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membuat pembetulan ini termasuklah pemisahan kuasa untuk badan-badan lain yang termasuk dalam bidang negeri.

“Kita sedar bahawa kerajaan pusat tidak boleh menanggung semua beban. Oleh itu ada pembahagian yang perlu kerajaan negeri laksanakan sendiri cuma tinggal kerajaan pusat perlu pantau sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya selepas menyampaikan kuliah di sini, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir membentangkan KSP RMK11 2016-2020 di Dewan Rakyat yang disifatkan sebagai dokumen reformasi yang komprehensif dalam usaha mereformasikan semula negara.

Dalam pada itu, Abdul Hadi yang juga Anggota Parlimen Marang turut mengulas cadangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengehadkan kuasa perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri dalam tempoh dua penggal yang dianggap memerlukan kajian terperinci dan holistik.- BERNAMA