KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperkenalkan rangka kerja pendaftaran bagi penyedia perkhidmatan pasaran modal untuk meningkatkan standard tatalaku mereka dan mengukuhkan keyakinan dan kepercayaan pelabur terhadap pasaran modal.
Di bawah Garis Panduan Pendaftaran dan Tatalaku Perkhidmatan Modal Pasaran baharu, yang berkuat kuasa 2 Januari 2019, semua pemegang amanah dan rumah terbitan yang menyediakan perkhidmatan pasaran modal perlu berdaftar dengan SC.
Memandangkan fungsi penting yang dijalankan oleh pemegang amanah dalam melindungi aset dan kepentingan pelabur, SC telah memperkenalkan Garis Panduan baharu ini untuk menyeragamkan keperluan sedia ada dan memperkenalkan kriteria pendaftaran.
Antaranya standard kemasukan dan kewajipan tatalaku yang berterusan untuk mewujudkan tahap kesaksamaan dalam kalangan pemegang amanah.
Ini susulan maklum balas yang diterima daripada pihak industri melalui kertas perundingan awam yang dikeluarkan pada tahun 2016.
Untuk meningkatkan kecekapan, garis panduan baharu akan melaksanakan pendaftaran hanya sekali dan bukannya pendaftaran mengikut produk semasa yang menghendaki pemegang amanah memperbaharui pendaftaran secara berkala.
SC juga meningkatkan pengawasan terhadap pemegang amanah bagi memastikan mereka terus kekal sesuai dan layak untuk menjalankan obligasi dan tanggungjawab mereka.
Rangka kerja pendaftaran baharu tersebut adalah sejajar dengan usaha SC untuk menyusun semula pendekatan kawal selianya bagi meningkatkan ekosistem pasaran modal.
Ia juga adalah untuk memastikan penyedia perkhidmatan pasaran modal mengutamakan kepentingan pelabur dalam semua proses pembuatan keputusan mereka.
Di samping itu, rangka kerja ini memberikan lebih penekanan kepada tanggungjawab lembaga pengarah dan pihak pengurusan agar mereka bertanggungjawab terhadap tatalaku entiti berdaftar dan wakil-wakil mereka. – MalaysiaGazette