Home Nasional Mohamaddin nafi guna dana awam ketika lawatan rasmi ke Singapura

Mohamaddin nafi guna dana awam ketika lawatan rasmi ke Singapura

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi

KUALA LUMPUR – Menteri Pelanco­ngan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi telah membuat laporan polis berhubung dakwaan sebuah blog kononnya beliau menggunakan dana awam bagi perbelanjaan keluarganya ketika lawatan rasmi ke Singapura.

Ahli Parlimen Silam itu berkata dakwaan itu adalah berniat jahat sambil menegaskan beliau menggunakan wang sendiri bagi perbelanjaan keluarga yang turut bersamanya ketika lawatan terbabit dari 2 hingga 4 Okt lepas.

“Ia adalah satu tuduhan tidak berasas daripada blogger itu dengan tujuan yang tidak baik. Kita akan cari siapa yang membuat fitnah ini dan jika dapat kita akan ambil tindakan undang-undang,” katanya dalam sidang media selepas Istiadat Konvokesyen ke-14 Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di sini, hari ini.

Baru-baru ini tulisan di blog itu tular dengan mendakwa keluarga Mohamaddin berbelanja barangan yang mahal ketika di Singapura sehingga kementerian terpaksa menanggung bayarannya.

Selain itu, blog itu turut mendakwa Mohamaddin tidak melakukan tugasnya sebagai menteri ketika lawatan rasminya yang lain ke luar negara dan menyerahkan tugasnya kepada pegawai yang mengiringi.- BERNAMA