KUALA LUMPUR – Bekas Presiden MCA, Tan Sri Chua Soi Lek mengajak ahli mengubah barisan kepimpinan parti itu pada pemilihan yang akan berlangsung November kelak.
Katanya, kepimpinan yang ada pada hari ini mengecewakan kerana gagal mengemudi parti dengan baik khususnya tidak dapat membuat keputusan sama ada terus kekal dalam Barisan Nasional (BN) atau tidak.
“Saya kecewa dengan parti sebab kepimpinan hari ini tidak boleh berhadapan dengan isu yang besar melibatkan parti.
“Kenapa kepimpinan MCA hari ini tidak boleh buat keputusan untuk kekal dengan BN atau tidak,” katanya berucap di majlis pelancaran buku tulisannya yang bertajuk “Like Me or Hate Me: Rising From The Political Ashes”.
Oleh kerana pemimpin dalam MCA hari ini dilihat Chua sebagai tidak berani, maka ujarnya ahli parti itu perlu bertindak untuk membuat perubahan menerusi undi mereka pada pemilihan parti.
“Kepimpinan parti itu sepatutnya berani kata perkara yang benar dan buat perkara yang benar.
“Ahli kena memberanikan pemimpin dengan undi, untuk dapatkan pemimpin yang berani kamu (ahli) kena berani ubah kepimpinan. Ubah kepimpinan,” tambah Soi Lek yang berusia 71 tahun. -MalaysiaGazette