Home Nasional 1MDB: Selain pemimpin UMNO, Wee Ka Siong perlu bertanggungjawab

1MDB: Selain pemimpin UMNO, Wee Ka Siong perlu bertanggungjawab

Chua Soi Lek
Bekas Presiden MCA, Tan Sri Dr Chua Soi Lek (kanan) meluangkan masa mendatangani buku kepada peminat pada majlis Pelancaran Buku Bertajuk ‘Like Me or Hate Me’ di Hotel Istana, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 21 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Bukan hanya pemimpin UMNO, malah kata bekas Presiden MCA Tan Sri Chua Soi Lek pemimpin parti yang pernah diterajuinya itu juga perlu bertanggungjawab terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menyebut nama Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, selain jemaah kabinet yang lain perlu menggalas tanggungjawab terhadap skandal itu kerana isu itu wujud ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Pengurusan yang sebelum ini jatuh sebab skandal apa? 1MDB, Felda (Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan) , MARA (Majlis Amanah Rakyat),” katanya kepada pemberita ketika sidang media. 

“Pemimpin UMNO yang angkuh, salah guna kuasa, mereka ini adalah sebahagian daripada pentadbiran jadi mereka perlu bertanggungjawab. Itulah akauntabiliti. 

“Sebab kenapa saya tidak boleh sokong Wee (Ka Siong) adalah kerana mereka merupakan menteri pada kerajaan terdahulu,” ujarnya.

Untuk rekod Wee yang merupakan Ahli Parlimen Ayer Hitam semasa pentadbiran BN memegang jawatan  Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dalam pada itu Soi Lek menyelar tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mendakwanya berkata UMNO sebagai bapa kepada MCA. 

Chua yang menafikan mengeluarkan kenyataan itu sebaliknya hanya menganggap bahawa “anak tidak akan mempertikaikan sumber bantuan wang yang diberikan daripad bapa” dalam isu dana RM16.5 juta.

Beliau pada Oktober 2015 mengakui MCA adalah antara parti BN yang menerima dana itu, namun mengakui tidak mengetahui sumber dana tersebut.-MalaysiaGazette