Home Politik Elizabeth minta Mat Sabu siasat ahli ATM pengundi PKR

Elizabeth minta Mat Sabu siasat ahli ATM pengundi PKR

Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong telah menyerahkan dokumen berkaitan dakwaan ada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat dalam pengundian pemilihan PKR Cabang Petaling Jaya Utara kepada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Menurutnya, pihak kementerian juga telah menyatakan komitmen untuk menyiasat perkara berkenaan yang berlaku di Bandar Utama, Petaling Jaya pada 21 Oktober lalu.

“Sehubungan dengan itu, dua set dokumen bersertakan lampiran telah saya kemukakan kepada pejabat Menteri Pertahanan dan satu salinan kepada Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Saifuddin Nasution petang tadi.

“Set pertama mengandungi nama dan butiran tiga orang yang disyaki anggota ATM yang telah mengundi di sebelah pagi pada hari pembuangan undi Pemilihan Cabang PJU, manakala set kedua berkenaan penemuan 32 ahli Keadilan Cabang PJU yang didaftarkan atas beberapa alamat di Kem Angkatan Tentera Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Elizabeth, antaranya Kem Batu Kentomen, Kem Paya Jaras, Kem Sungai Buloh, Kem Wardieburn dan Kem Perdana Sungai Besi.

“Tindakan ini dibuat bagi membolehkan Kementerian Pertahanan memulakan semakan sekiranya anggota ATM ada terlibat di dalam aktiviti politik, serta membantu Cabang PJU mengemaskini senarai keanggotaan cabang,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, menurutnya, aduan berkenaan anggota ATM yang mengundi pada sebelah pagi adalah insiden yang berbeza dengan insiden penahanan tujuh orang oleh Polis Diraja Malaysia yang berlaku pada sebelah petang pada tarikh yang sama.

“Tujuh orang yang ditangkap pada sebelah petang adalah mereka yang disyaki pengundi hantu dan bukan yang disyaki sebagai anggota ATM,” ujarnya.- MalaysiaGazette