Home Nasional Mayat kelapan mangsa tanah runtuh ditemui

Mayat kelapan mangsa tanah runtuh ditemui

Pasukan operasi dan penyelamat membawa mayat mangsa kelapan tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong, Pulau Pinang. foto bernama

GEORGE TOWN –  Mayat kelapan mangsa kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di sini ditemui dalam keadaan sempurna berhampiran rumah kongsi yang turut tertimbus tanah.

Mayat Subaeri, 34, ditemui di sektor satu berhampiran bukit di kedalaman satu meter pada pukul 12.20 tengah hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah berkata pihaknya menggunakan jentera untuk mengalihkan runtuhan tanah sebelum menemui mayat lelaki Indonesia itu.

“Pengecaman awal dilakukan oleh rakan-rakannya yang berada di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata isteri mangsa, Norazizah, 24, warga Kemboja yang cedera ringan dalam kejadian itu, berada di Jabatan Perubatan Forensik HPP bagi membuat pengecaman lanjut ke atas mayat suaminya.

Mohamad Shoki berkata pasangan warga asing itu tinggal di rumah kongsi di kawasan kejadian dan semasa kejadian, mereka berada di dalam rumah berkenaan.

Dalam kejadian yang dilaporkan pada pukul 1.56 petang Jumaat itu, Norazizah turut tertimbus sehingga ke paras pinggang dan hanya mampu melihat suaminya, Subaeri tertimbus.

Mohamad Shoki berkata pada masa ini, pasukan penyelamat dengan bantuan beberapa jentolak berusaha mengalihkan tanah runtuh di sektor ketiga bagi membolehkan pihaknya membawa keluar kontena ke-13 yang dipercayai terdapat mangsa tanah runtuh.

“Cuma kami menghadapi kesukaran untuk keluarkan kontena itu kerana ia tenggelam di bawah 20 meter tanah runtuh,” katanya.

Sehingga pukul 2 petang ini, lapan mayat telah ditemui terdiri daripada tiga lelaki Indonesia, empat lelaki Bangladesh dan seorang wanita Myanmar, manakala dua lagi lelaki Bangladesh dilaporkan masih hilang dipercayai tertimbus dalam runtuhan itu.

Kejadian yang menimbus kontena serta rumah kongsi pekerja binaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus itu turut menyebabkan empat orang cedera terdiri daripada seorang lelaki Bangladesh, dua wanita Indonesia, seorang daripadanya mengandung empat bulan, dan seorang wanita Kemboja. – MalaysiaGazette