Home Utama 16 barangan harga kawalan untuk Deepavali

16 barangan harga kawalan untuk Deepavali

Saifudin
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) menunjukkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2018 sambil diiringi Timbalan Menteri KPDNHEP, Chong Chieng Jen (kiri) dan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Jamil Salleh (kanan) di Pejabat KPDNHEP, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 23 OKTOBER 2018

PUTRAJAYA – Sejumlah 16 jenis barangan harga terkawal akan dikuatkuasakan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2018 yang bermula dari 3 November sehingga 9 November ini.

Antara barangan yang tertakluk kepada skim tersebut adalah ayam, daging kambing tempatan dan import, telur ayam, bawang, ubi kentang, cili merah, kelapa dan kacang dal.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, selain perlu mematuhi harga yang telah ditetapkan para peniaga juga diwajibkan memasang tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan harga kawalan bagi membezakannya dengan barangan lain.

Di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2018, ayam standard bakal dijual dengan harga runcit RM7.30 sekilogram untuk semenanjung manakala di Sarawak (RM8.50/kg), Sabah (RM9.50/kg) dan Labuan (RM9.80/kg).

Harga kelapa pula dikawal di peringkat borong sahaja iaitu RM1.90 sebiji di semenanjung, RM1.30 (Sarawak), RM1.50 (Sabah dan Labuan).

“Ada barang yang menunjukkan peningkatan harga berbanding ketika kita melaksanakan skim yang sama tahun lepas, ada juga harga yang kekal dan ada yang turun.

“Kesemua ini didorong oleh pelbagai faktor ekonomi seperti tukaran mata wang, cuaca dan kos.

“Ia tiada kaitan dengan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan,” katanya ketika sidang media melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2018 di sini hari ini.

Para peniaga individu yang didapati melakukan kesalahan menjual barangan melebihi harga maksimum boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda sehingga RM100,000 atau kedua-dua sekali atau kompaun RM50,000.

Manakala syarikat yang pula boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Bagi peniaga yang gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu boleh dikenakan denda RM10,000 (individu) atau RM20,000 (syarikat).

Tambah Saifuddin, kementerian turut meningkatkab keberadaan pegawai penguatkuasa di lokasi-lokasi terpilih yang menjadi tumpuan orang ramai. – MalaysiaGazette