KUALA LUMPUR – Ahli PKR Cabang Subang yang sepatutnya membuat sidang media berkenaan dakwaan wujud unsur rasuah dalam pemilihan parti itu hari ini berkata pihaknya menerima arahan daripada pihak kepimpinan untuk menangguhkannya.
Rahimi Hazlami yang sepatutya mengadakan sidang media itu berkata, pimpinan PKR bertindak demikian oleh kerana pemilihan di Melaka dan Negeri Sembilan mungkin akan diadakan semula.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama pemimpin yang mengarahkannya berbuat demikian.
“Sebenarnya kami dapat arahan pihak atasan untuk tangguh dahulu sidang media hari ini berkenaan kewujudan majlis menjanjikan RM100 untuk undi ketika pemilihan sebab berkemungkinan pemilihan Melaka dan Negeri Sembilan akan akan diadakan semula,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu, ahli PKR Cabang Subang itu mendakwa ada berlaku majlis menjanjikan RM100 untuk undi ketika pemilihan parti baru-baru ini.
Terdahulu, PKR akan membuat keputusan sama ada pemilihan di Negeri Sembilan dan Melaka perlu diadakan semula atau tidak menerusi Mesyuarat Biro Politik parti itu yang berlangsung pukul 8:30 malam ini.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat, Datuk Rashid Din berkata, pihaknya akan mencadangkan pemilihan parti di Melaka dan Negeri Sembilan yang sepatutnya selesai Sabtu lalu diadakan semula jika undi ‘hilang’ itu tidak ditemui dalam masa 24 jam.-MalaysiaGazette