SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan penyokong bola sepak yang akan membanjiri Stadium Shah Alam sempena perlawanan akhir Piala Malaysia antara Perak dan Terengganu pada Sabtu ini tidak menimbulkan kekecohan atau membawa bahan larangan bagi mengelakkan sebarang huru hara.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharuddin Mat Taib berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang didapati cuba mengganggu ketenteraman penonton lain sepanjang perlawanan itu berlangsung.
Beliau berkata sebanyak 2,172 pegawai dan anggota termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan ditugaskan pada perlawanan itu dengan dibantu 294 anggota sekuriti.
“Saya nasihatkan penonton dan penyokong pasukan bola sepak yang bertanding dapat menjadi lebih matang demi keamanan orang awam kerana perlawanan sukan ini turut dihadiri pelbagai lapisan masyarakat antaranya kanak-kanak dan wanita,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.
Ditanya mengenai kemungkinan wujudnya pihak tidak bertanggungjawab cuba menyorokkan bahan larangan antaranya mercun atau suar di dalam stadium sebelum perlawanan berlangsung, Baharuddin berkata pihaknya akan memeriksa keseluruhan bangunan terbabit lebih awal bagi mengelakkan insiden itu berlaku.-BERNAMA