KUALA LUMPUR- Bajet 2019 dijangka memberi fokus kepada pengukuhan ekonomi dalam jangka masa sederhana dan panjang dengan cara menyesuaikan semula ketidakseimbangan yang telah berlaku sejak bertahun-tahun lalu.
Malaysia Rating Corp. Bhd. (MARC) dalam laporannya yang bertajuk Pra-Bajet 2019: Memulihkan Semula Kewangan berkata, golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merupakan kumpulan yang mendapat manfaat terbanyak dalam Bajet 2019.
Katanya, kajian terbaharu oleh Khazanah Research Institute menunjukkan jurang pendapatan di antara golongan kaya (T20) dengan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana semakin melebar menyebabkan kumpulan tersebut sangat memerlukan bantuan kerajaan.
“Bagaimanapun, bantuan kewangan kepada golongan berkenaan perlu dibuat secara bersyarat iaitu dengan membantu mereka mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup.
“Sama juga seperti pemberian subsidi minyak yang perlu diganti kepada bantuan tersasar khusus untuk kumpulan berpendapatan rendah,” kata kajian yang sama.
Mengikut Laporan Kajian Pendapatan Isi Rumah Keperluan Asas 2016, golongan B40 adalah isi rumah berpendapatan purata RM2,848.- MalaysiaGazette