PALEMBANG – Seorang bapa yang didakwa menembak mati ahli keluarganya termasuk anjing peliharaan meninggalkan dua keeping nota yang mengatakan dia “sangat penat tetapi mencintai isteri dan anak-anaknya sehingga tidak mampu meninggalkan mereka bersendirian di dunia ini.”
Dalam satu kes bunuh dan bunuh diri pelik itu, seorang ahli perniagaan Fransiskus Xaverius Ong yang dikenali sebagai bapa dan suami penyayang dipercayai telah membunuh isterinya, Margereth Yentin Liana, 43, anak lelakinya, Rafael Fransiskus, 18 dan anak perempuan, Kathlyn Fransiskus, 11.
Kes pembunuhan berlaku di kediaman keluarga berkenaan di daerah Kalidoni, Palembang awal pagi Rabu.
Saksi berkata, Ong pernah memberi gambaran yang dia sedang merancang untuk melakukan sesuatu pada malam kejadian sebelum membunuh keluarga dan dua ekor anjing peliharaan mereka, Choky dan Snowy.
Menurut saksi, Ong sedang minum kopi sambil bermain piano pada kira-kira jam 8 malam, Selasa.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Dewi memberitahu polis, Ong hanya akan bermain piano apabila “sedang menghadapi masalah.”
Pada tengah malam tersebut, Ong katanya, melakukan sesuatu yang luar biasa apabila membuat panggilan telefon kepada semua pekerja di syarikatnya termasuk pembantu-pembantu rumah supaya hadir ke satu mesyuarat di kediamannya.
Dia dilaporkan memberikan pekerja-pekerjanya sedikit wang.
Pada jam 3 pagi, Rabu, Ong menghantar satu pesanan kepada kumpulan WhatsApp sekolah menengahnya untuk meminta maaf dan mengharapkan mereka supaya mengenang kebaikannya.
Salah seorang daripada rakan sekolah tersebut membalas pesanan tersebut: “Apa yang anda merepek pada jam 3 pagi ini?”
Pada keesokan pagi, seorang lagi pembantu rumah, Sarah terkejut apabila mendapati bantal Kathlyn berlumuran darah apabila cuba mengejutkannya.
Pembantu rumah terbabit bergegas ke bilik Ong untuk memberitahu kejadian tersebut bagaimanapun pintu bilik berkunci manakala panggilan telefon juga tidak berjawab.
Mereka kemudiannya memanggil jiran-jiran dan polis mendapati kesemua ahli keluarga telah mati.
Menurut Ketua Polis Sumatera Selatan, Inspektor Jeneral Zulkarnain Adinegara, laporan bedah siasat dan siasatan saintifik mendapati Ong melakukan perancangan rapi pembunuhan tersebut.
“Berdasarkan analisis tembakan, Fransiskus merupakan individu yang melakukan tembakan,” katanya.
Dia dikatanya membunuh isterinya terlebih dahulu sebelum berhenti sebentar dan menghisap rokok di luar bilik.
Mangsa kedua adalah anak lelakinya diikuti Kathlyn. Kesemua mangsa didakwa ditembak pada jarak dekat.
Tiada seorang pun pembantu rumah keluarga tersebut yang terdengar bunyi tembakan pada malam kejadian. – Agensi