AMPANGĀ – Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Cabang Pandan hari ini menyaksikan calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menewaskan pencabarnya, Rafizi Ramli dengan kelebihan 207 undi.
Mohamed Azmin memperoleh 715 undi berbanding Rafizi yang hanya meraih 508 undi selepas pusat mengundi cabang itu di Dewan Majlis Perbandaran Ampang jaya (MPAJ), Taman Cempaka ditutup tepat jam 5 petang tadi.
Bagaimanapun bekas Ahli Parlimen Pandan itu hanya berjaya mengatasi tiga pencabarnya bagi jawatan Ketua Cabang Pandan dengan 566 undi.
Ketiga-tiga pencabar Rafizi itu antaranya Haniza Mohd Talha yang memperoleh 405 undi, Nor Hayati Haron (353 undi) dan Mohamad Shaukhi Mohd Hashim (71 undi).
Manakala bagi jawatan Timbalan Ketua Cabang Pandan, calonnya, Azmi Alang Ahmad berjaya mengetepikan empat pencabarnya dengan memperoleh 395 undi.
Empat pencabar Azmi itu antaranya Nordin Daud@Abdul Jalil mendapat 339 undi, Hiew Kah Heng (240 undi), Mohammed Basheer Yusof (206 undi) dan Chan Chee Sun (108 undi). – MalaysiaGazette