KUALA LUMPUR – Dakwaan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin kononnya ada 40 ahli parlimen UMNO akan menyertai kerajaan Pakatan Harapan hanya bersifat ‘perang psiko’ semata-mata.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, kenyataan Kadir yang wakil rakyat itu akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebenarnya untuk menggugat kesepaduan serta kejituan parti sahaja.
Kata Ahli Parlimen Parit Sulong itu, niat sebenar Kadir adalah untuk menjadikan UMNO lemah dan berpecah dengan membuat tohmahan sedemikian.
“Justeru, Wanita UMNO berharap ahli-ahli parti sedar tentang usaha berterusan memecahbelahkan parti terutama oleh musuh politik.
“Kita perlu insaf bahawa parti dalam keadaan yang sangat getir dan fokus utama pada masa ini adalah membangkitkan semula UMNO dengan mengutamakan penyatuan dalaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Kadir mendakwa ada segelintir Ahli Parlimen dalam kalangan UMNO sudah pun beberapa kali berjumpa Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepimpinan tertinggi parti secara berkumpulan atau perseorangan membincangkan perkara itu.
Namun pada masa yang sama, Kadir mendedahkan tiada jaminan untuk mereka tidak disiasat setelah menyertai Bersatu dan siasatan akan tetap dilakukan sekiranya terlibat dengan sebarang salah laku.
Dalam pada itu, Noraini turut menggesa semua ahli UMNO untuk terus berpegang teguh pada prinsip perjuangan parti dan berdiri teguh di belakang parti tidak kira apa yang berlaku.
“Kita juga yakin bahawa ahli-ahli UMNO akan terus setia dengan parti tidak akan mengambil keputusan yang boleh membawa kehancuran kepada parti sekaligus meminggirkan dan menghancurkan kepercayaan ahli-ahli parti,” tegasnya. –MalaysiaGazette