Home Nasional 13 banduan Al-Maunah masih dalam penjara

13 banduan Al-Maunah masih dalam penjara

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak mengamalkan pendekatan memaafkan mana-mana banduan yang terlibat dengan aktiviti keganasan seperti Al-Maunah.

Sebaliknya, pengampunan hanya dilaksanakan atau meringankan hukuman dari Lembaga Pengampunan Negeri akan terus diberikan kepada banduan kumpulan itu melalui ‘Kajian Hukuman Empat Tahun Sekali’.

Ia juga boleh dilakukan melalui petisyen berasaskan ketetapan Peraturan 54 dan Peraturan 113 Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

Menteri Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan bertulis menyatakan seramai 13 anggota militan Al-Maunah masih lagi meringkuk dalam penjara manakala 4 lagi banduan kumpulan itu sudah dihukum mati setakat ini.

Jelasnya, seramai 10 orang telah dibebaskan dan 2 lagi meninggal dunia ketika menjalani rawatan hospital kerana sakit.

“Jabatan Penjara Malaysia melaksanakan penahanan dan hukuman terhadap mana-mana banduan termasuklah banduan kes Al-Maunah berasaskan undang-undang yang berkuatkuasa serta waran penahanan yang sah dari Mahkamah.

“Kes Al-Maunah telah melalui proses undang-undang secara adil dan telus daripada peringkat permulaan perbicaraan sehingga disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman, justeru itu tidak ada lagi isu timbul berkaitan Al-Maunah,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa (Pas), Ahmad Marzuk Shaary menyatakan jumlah tahanan kes Al-Maunah yang masih lagi di penjara, telah diampunkan serta dihukum mati serta pendirian kerajaan baharu kini. –MalaysiaGazette