Home Nasional Nyawa lebih penting daripada tugas sebagai wartawan – Maszlee

Nyawa lebih penting daripada tugas sebagai wartawan – Maszlee

BANGI – Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata nyawa seseorang individu itu lebih penting daripada tugas media dalam mendapatkan bahan berita kepada umum.

Ujarnya, isu keselamatan semua Ahli Parlimen adalah penting dalam memastikan perjalanan mesyuarat di Dewan Rakyat berjalan lancar tanpa sebarang insiden.

“Tak apalah saya yang menjadi mangsa dan akhirnya menjadi orang yang terkorban untuk menyelamatkan orang lain.

“Saya rasa nyawa dan keselamatan lebih utama daripada tugas, jadi kita letakkan nyawa dan keselamatan sebagai keutamaan kita negara yang bertamadun,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri pertandingan akhir pidato Piala Menteri Pendidikan 2108 di Dewan Kuliah Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), semalam.

MGF28102018_PERTANDINGANPIDATOPIALAMENTERIPENDIDIKAN_09Maszlee ditanya mengenai insiden beliau hampir tersungkur di lobi Parlimen, Isnin lalu.

Insiden itu berlaku apabila beliau diserbu para wartawan selepas menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Ketika itu, para wartawan ingin mendapatkan penjelasan lanjut berhubung yuran pengajian Universiti Malaya (UM).

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu menjawab pertanyaan media sambil berjalan dan tiba-tiba tersadung wayar jurukamera dan hampir tersungkur.

Situasi yang tidak diduga itu menimbulkan sedikit kekecohan sebelum pegawai iringan memapah beliau dan berlalu dari sidang media berkenaan.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, pelaksanaan penghadang di pintu masuk Dewan Rakyat oleh pihak pengurusan Parlimen adalah bagi memastikan faktor keselamatan diutamakan.

“Cuba bayangkan yang terjatuh itu Perdana Menteri kita berusia 93 tahun. Ia akan jadi isu dunia.

“Saya rasa pihak Parlimen mempunyai pemikiran keselamatan dan secara logiknya kalau perkara sedemikian terjadi kepada mereka yang berumur seperti Perdana Menteri, dan Ahli Parlimen yang sedang mengandung,” katanya. – MalaysiaGazette