Home Dunia Bangkai Lion Air masih belum ditemui setakat pagi ini

Bangkai Lion Air masih belum ditemui setakat pagi ini

Lion Air
Pesawat Lion Air

JAKARTA – Operasi mencari bangkai pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Tanjung Karawang semalam masih gagal ditemui setakat 9 pagi ini.

Pengarah Operasi Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas), Bambang Suryo Aji berkata sebanyak 19 kapal dan tiga helikopter terlibat dalam operasi itu.

“Setakat pagi ini sebanyak 24 mayat telah ditemukan, selain serpihan-serpihan dipercayai milik pesawat, serta barang-barang milik penumpang,” katanya.

Bambang berkata mayat-mayat yang ditemukan itu dalam keadaan tidak sempurna dan telah dihantar ke hospital untuk proses mengenal pasti identiti, dan pihaknya beranggapan semua penumpang dan anak kapal pesawat itu terkorban dalam nahas berkenaan.

Presiden Indonesia Joko Widodo semalam telah mengarahkan operasi mencari pesawat itu dilakukan 24 jam.

Penerbangan JT610 yang membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal itu terhempas setelah berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi semalam.

Pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 itu dilaporkan terputus hubungan sebelum terhempas di koordinat S 5 49.052 E 107 06.628 di perairan Karawang yang sepatutunya tiba di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang pada pukul 7.10 pagi waktu Indonesia barat.

Tiada rakyat Malaysia terbabit dalam nahas itu.

— BERNAMA