SURAT TERBUKA
Sidang ‘Town Hall’ yang diadakan di HRDF pada 7 Jun 2018 oleh YB Menteri Sumber Manusia yang baru, YB M. Kulasegaran bersama-sama pemilik syarikat latihan kemahiran serta profesional, membawa imej yang begitu positif kepada Kementerian Sumber Manusia, yang sudah terpalit dengan pelbagai kemelut dalaman sejak kerajaan BN lagi.
Kemudiannya, apabila menteri baru KSM, YB Kulasegaran mengambil alih tampuk kepimpinan, ada pula dakwaan mengenai penyelewengan dana RM300 juta membabitkan Tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF). Satu Jawatankuasa Pemantauan Bebas Tadbir Urus Khas juga telah ditubuhkan oleh YB Kula 26 Jun lalu untuk menyiasat dakwaan penyelewengan ini dan untuk membuat pengesyoran penambahbaikan pengurusan rangka kerja urus tadbir organisasi berkenaan dalam tempoh 100 hari.
Sedar tidak sedar masa berlalu, tempoh 100 hari yang dijanjikan YB Kula untuk jawatankuasa terbabit menyiapkan laporan siasatan sudah hampir mencecah 30 hari lewat untuk dibentangkan. Ramai yang teruja dengan ‘pembongkaran’ itu pada awal Jun lalu, masih ternanti-nanti pengumuman hasil sisatan seperti yang telah dijanjikan. Bukan hanya pemilik-pemilik syarikat latihan seperti saya, tetapi juga rakyat kebanyakkan yang tidak sabar melihat sejauh mana benarnya dakwaan penyelewengan ini kerana jika benar, mereka yang bersalah perlu segera dibawa ke muka pengadilan.
Bukan apa, ini kerana sejak kebelakangan ini banyak kemelut lain membabitkan Kementerian Sumber Manusia dengan penyedia latihan TVET sedang rancak kedengaran sana-sini seperti yang dilaporkan media. Pelajar-pelajar TVET yang terpaksa menghentikan pengajian separuh jalan juga masih belum diketahui nasib mereka dan bagaimana KSM di bawah teraju baru YB Kula akan menangani isu ini.
Berbalik kepada isu penyelewengan dana HRDF tadi, apabila penyelewangan RM300 juta dicetuskan beberapa individu-individu tertentu, YB Kula tampak begitu serius untuk menyelesaikan kemelut ini. Syabas kepada beliau yang tidak memandang enteng kemelut yang dibangkitkan sebaliknya terus bertindak membentuk jawatankuasa ini.
Menariknya mengenai isu ini ialah, sebelum laporan sisatan oleh jawatankuasa pemantauan dibentangkan, tiga ahli lembaga pengarah HRDF dan Ketua Pegawai Eksekutifnya ketika itu, Datuk Vickneswaran bertindak meletak jawatan kerana mahu memberikan laluan untuk siasatan. Sebelum siasatan dimulakan, individu-individu ini sudah pun menerima ‘hukuman’ mereka. Adakah benar individu-individu ini mempunyai perkaitan dengan isu penyelewengan dana HRDF ini? Jika benar, apa tindakan Kementerian selepas ini?
Dan jika dakwaan penyelewengan ini tidak benar, apa pula nasib empat individu ini? Sedangkan HRDF sendiri sudah mempunyai CEO baru. Adakah nama empat individu itu akan dibersihkan jika laporan hasil siasatan jawatankuasa pemantauan bebas itu dapati tiada sebarang elemen penyelewengan?
Walau apa sahaja hasil sisatan jawatankuasa khas terbabit, ia perlulah diumumkan secara telus dan diwar-warkan melalui media kepada orang ramai dengan kadar segera seperti yang dijanjikan YB Menteri. Rakyat mahu melihat bagaimana sesuatu isu yang begitu tular pada awalnya, diselesaikan dengan baik. Tidak kira apa sahaja keputusan hasil siasatan oleh jawatankuasa yang dilantik.
Kelewatan laporan penuh siasatan oleh badan pemantauan bebas yang dilantik mungkin pada asasnya dilihat tidak begitu signifikan. Namun, kesannya kepada pengusaha syarikat latihan program kemahiran dan professional yang telah dan masih menjalankan program-program latihan menggunakan dana di HRDF adalah amat besar. Ini kerana pemilik syarikat latihan ini masih belum boleh menuntut sebarang bayaran daripada HRDF dan sedang ‘mengelupur’ menanggung kos yang telah dibelanjakan untuk menjalankan program latihan mereka.
Lebih lama laporan siasatan mengambil masa untuk disiapkan, lebih lama lagi pengusaha latihan terpaksa ‘mengikat perut’ kerana pada masa yang sama tidak boleh memohon sebarang dana baru untuk menjalankan program-program latihan yang menjadi periuk nasi mereka selama ini. Kelewatan pembentangan hasil siasatan juga menyebabkan pemilik syarikat latihan professional serta kemahiran runsing kerana HRDF tidak membenarkan sebarang tuntutan dana untuk latihan-latihan baru atau juga bayaran kepada program latihan yang telah pun dilaksanakan syarikat pengusaha latihan.
RM300 juta bukanlah jumlah yang kecil untuk melewat-lewatkan pengumuman laporan siasatan badan pemantauan bebas ini. YB Kula perlu lakukan sesuatu bagi memastikan laporan siasatan jawatankuasa bebas ini dapat dibentangkan dalam tempoh masa yang telah dijanjikan bagi memastikan dalang-dalang yang didakwa bertanggungjawab melakukan penyelewengan ini segera dibawa ke muka pengadilan. Dan pada masa yang sama, ia juga akan membersihkan nama mereka yang terpalit dengan tuduhan penyelewangan berkenaan, jika siasatan jawatankuasa mendapati tiada penglibatan mereka. Ketelusan adalah antara janji pentadbiran kerajaan baru Malaysia dan pembentangan laporan ini kepada umum adalah satu cara untuk merealisasikan perkara itu agar penyedia latihan tidak terus terhimpit dalam kemelut yang tidak berkesudahan di Kementerian Sumber Manusia.
Sekian, terima kasih.
Amirul Am, Penyedia Latihan Tertekan
*Surat terbuka ini dikirimkan kepada [email protected] pada 29 Oktober 2018.