KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melahirkan kebimbangannya terhadap keadaan ekonomi negara ekoran trend ketidaktentuan pasaran dunia pada tahun depan.
Menurutnya, kebimbangan itu timbul selepas Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde membuat ramalan berhubung perkara tersebut baru-baru ini.
“Ketidaktentuan dari segi dagangan antarabangsa akan menyebabkan tekanan kepada kadar pertumbuhan ekonomi dunia dan dia (Lagarde) meramalkan bahawa ada kemungkinan persekitaran external akan menekan ekonomi seperti Malaysia,” katanya.
Najib yang berpakaian sut itu berkata demikian selama kira-kira sembilan minit menerusi siaran langsung menerusi laman Facebook miliknya malam tadi.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan negara, trend ekonomi dilihat semakin lemah dan menguncup.
Katanya, perkara itu dapat dilihat dengan jelas apabila kadar peratusan pada tahun ini hanya berada pada kadar 4.5 peratus dan akan terus menjadi lemah pada tahun hadapan.
Justeru, beliau menggesa agar kerajaan PH berhenti daripada terus menyalahkan beliau serta kerajaan terdahulu dan memberikan tumpuan sepenuhnya untuk memulihkan ekonomi.
Katanya, pendekatan keseluruhan yang perlu dimainkan oleh kerajaan pada hari ini ialah mengambil pendekatan bagi menyelamatkan ekonomoi negara dan memberi perlindungan kepada rakyat.
Najib yang pernah menyandang jawatan sebagai menteri kewangan memberitahu, pasukan pembangkang akan terus memainkan peranan yang tegas dan akan bertindak secara membina dan konstruktif.
“Kita tiada niat melainkan kita nak mengetengahkan pandangan dan buah fikiran kita agar dengan pembangkang yang lebih menbina kita boleh lihat amalan demokrasi berparlimen yang sihat untuk negara Malaysia yang tercinta ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette