Home Dunia PM Bangladesh dihukum penjara 10 tahun

PM Bangladesh dihukum penjara 10 tahun

Begum Khaleda Zia bekas PM Bangladesh dihukum penjara 10 tahun atas disabit kesalahan rasuah dan curi dana amal kebajikan kanak-kanak.

DHAKA – Mahkamah Bangladesh menggandakan hukuman penjara kepada 10 tahun terhadap bekas Perdana Menteri, Begum Khaleda Zia yang disabitkan kesalahan rasuah.

Keputusan itu sekali gus meranapkan harapan bekas pemimpin itu untuk kembali ke kancah politik pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijangkakan Disember ini, menurut peguambelanya.

Parti pembangkang, Parti Nasional Bangladesh (BNP) yang dipimpin wanita berusia 73 tahun itu terlibat dengan krisis sejak beliau dipenjarakan atas kesalahan rasuah pada Februari lalu.

“Khaleda Zia tidka boleh mengambil bahagian dalam PRU kecuali keputusan mahkamah dibatalkan,” kata Peguam Negara, Mahbubey Alam kepada pemberita selepas keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Khaleda yang menerima rawatan penyakit kencing manis dan artritis di hospital pada bulan ini tidak hadir ke mahkamah serta tidak diwakili peguambelanya.

Bagaimanapun peguam kepada bekas perdana menteri itu berkata, keputusan tersebut boleh dirayu dan dijangkakan dia akan bertanding pada PRU kali ini.

“Kami akan memohon kepada Mahkamah Rayuan dan percaya beliau akan mendapat keadilan di sana.

“Dia (Khaleda) tidak akan layak untuk bertanding disebabkan keputusan mahkamah hari ini,” kata Sanaullah Mia kepada pemberita.

Pada Februari lalu, Khaleda, anak lelakinya serta pembantu beliau didakwa mencuri 21 juta Taka ($253,000) dalam dana asing yang disalurkan untuk kebajikan anak yatim yang ditubuhkan ketika beliau menjadi perdana menteri pada 2001 hingga 2006.

Bagaimanapun Khaleda menafikan tuduhan yang dilemparkan ke atasnya.

Pada Isnin lalu Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun kerana melesapkan 31 juta Taka ($371,550) daripada Tabung Amanah pada tahun 2005.

Parti Khaleda BNP membantah keputusan itu, sekali gus mengadakan protes seluruh negara pada Selasa lalu.

Parti itu mendesak kerajaan memerintah membebaskan Khaleda dan mencadangkan sebuah kerajaan sementara bersifat neutral ditubuhkan untuk mentadbir negara itu sehingga PRU Disember ini.

Pada bulan ini, mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas anak Khaleda, merangkap Pemangku Pengerusi BNP, Tarique Rahman atas kesalahan merancang membunuh Perdana Menteri, Sheikh Hasina pada 2004.

BNP menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia adalah sebahagian rancangan menjauhkan keluarga Khaleda daripada arena politik Bangladesh.- MalaysiaGazette