Home Utama Sebenarnya apa motif lompat parti? Saya ada pendirian – Hishammuddin

Sebenarnya apa motif lompat parti? Saya ada pendirian – Hishammuddin

Hishammuddin Hussein
Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sembrong (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bertegas tidak akan sesekali melompat ke part pihak lawan malah kesetiaannya tidak berbelah bahagi demi UMNO.

Bekas Menteri Pertahanan itu berkata, beliau dan rata-rata wakil rakyat UMNO mempunyai maruah serta pendirian untuk tidak sesekali mengkhianati parti.

Kata beliau, isu 40 Ahli Parlimen dari kalangan UMNO akan melompat dengan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mungkin tidak ada kebenarannya.

“Bila isu seperti ini yang dibangkitkan agak sensasi untuk dua tiga hari kemudian ianya akan senyap sendiri kerana tidak ada kebenaran di situ.

“Saya sudah katakan sebelum ini beberapa kali, saya tidak akan sesekali lompat parti. Mungkin sudah kurang dari senarai 40 wakil yang disebut-sebut itu.

“Bak kata orang putih, jika hendak tahu ‘action speaks louder than words’, ini adalah action (tindakan) saya hari ini, saya tidak keluar parti.

“Setiap wakil rakyat ini mempunyai pendirian dan maruah diri. Tidak akan khianati parti,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen sebentar tadi.

Beliau mengulas dakwaan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin baru-baru ini kira-kira 40 Ahli Parlimen daripada UMNO dikatakan akan keluar parti dan menyertai Bersatu.

Malah Kadir turut mendakwa wakil rakyat UMNO ini telah beberapa kali berjumpa Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepimpinan tertinggi parti secara berkumpulan atau perseorangan membincangkan perkara itu.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengumumkan keluar UMNO baru-baru ini turut menyertai Bersatu Jumaat lepas.

Jelas Hishammuddin lagi, beliau tidak pernah didekati atau menerima sebarang ajakan tentang lompat parti.

“Apapun saya akan tetap setia dengan UMNO sampai bila-bila sekalipun. Itu pendirian tetap saya. Orang boleh cakap dan sebar perkara seumpama itu tetapi saya tidak terima apa-apa.

“Sebenarnya apakah motif untuk lompat parti? Mengapa saya perlu lompat parti,” soalnya. –MalaysiaGazette