KUALA LUMPUR – Belanjawan 2019 akan dibentangkan Jumaat ini iaitu kira-kira lima bulan selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu.
Berikut adalah beberapa perkara yang dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berdasarkan penyelidikan penganalisis dan laporan media di Malaysia.
Malaysian Rating Corporation (MARC) menjangka kerajaan mengurangkan perbelanjaan operasi, dengan kemungkinan memotong emolumen, pencen dan ganjaran serta caj perkhidmatan hutang.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan dua minggu lalu bahawa kerajaan akan mengurangkan bajet pembangunan keseluruhan sebanyak 15 peratus kepada 220 juta ringgit (AS$ 52.66 juta) di bawah pelan pembangunan lima tahunnya yang berakhir pada 2020.
RHB Bank menjangkakan kerajaan baharu memperkenalkan cukai khusus sektor yang akan meliputi e-dagang dan penggunaan soda atau gula, dan mungkin cukai karbon, untuk meningkatkan hasil kerajaan.
Beberapa bank menjangkakan kerajaan menaikkan beberapa cukai sedia ada – terutama sekali perjudian, tembakau dan alkohol – untuk meningkatkan pendapatan.
Semakan bantuan kebajikan juga dijangka mendapat perhatian dalam Belanjawan 2019. Ini berikutan kenyataan Dr. Mahathir bahawa kerajaan akan menamatkan program bantuan tunai tahunan yang dimulakan oleh Datuk Seri Najib Razak. Program bantuan hidup itu akan digantikan dengan sistem yang lebih disasarkan untuk mengekalkan perbelanjaan awam dalam pemantauan.
Rumah mampu milik – Penganalisis yang dipetik oleh media The Edge mengharapkan dasar perumahan yang berpatutan bertujuan meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan golongan berpendapatan terendah di negara ini dan kelonggaran dasar untuk menggalakkan lebih banyak belian bagi menggerakkan semula pasaran hartanah.
Subsidi minyak – Kerajaan mungkin akan mengekalkan skim subsidi bahan bakar pada tahun 2019, sementara kerajaan sedang mengkaji skim bagi golongan sasaran, menurut Nomura.
Defisit lebih besar – UOB menjangkakan defisit belanjawan yang lebih tinggi antara 3.5-4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2018, sebelum menetap berlegar di sekitar 3.0-3.5 peratus tahun depan kerana kerajaan berusaha menyelesaikan pembayaran balik cukai yang belum dijelaskan oleh kerajaan terdahulu.
Ketika membentangkan tinjauan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 dua minggu yang lalu, Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak akan dapat memenuhi sasaran defisit fiskalnya dan defisit dijangka 3.0 peratus pada akhir rancangan lima tahun di 2020.
Insentif teknologi tinggi – Kerajaan akan memberi insentif bagi syarikat untuk inovasi automasi dan inovasi teknologi maklumat di bawah Bajet 2019.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming ia sebagai sebahagian daripada usaha mendorong negara ke arah transformasi digital sektor perkilangan. – MalaysiaGazette