KUALA LUMPUR – McDonald’s Malaysia hari ini menyumbang lebih RM300,000 menerusi pelbagai inisiatif bertujuan untuk membantu golongan kurang berkemampuan dan miskin tegar di Negeri Sembilan.
Antara inisiatif yang diumumkan restoran makanan segera itu termasuk sumbangan zakat, pelantikan individu dari golongan asnaf untuk program perantisan McDonald’s, dan penyerahan pek “Kembali ke Sekolah” kepada lebih 1,000 murid sekolah rendah dari keluarga miskin bandar sebagai persediaan untuk memulakan sesi pembelajaran tahun 2019.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dr. Razali Ab. Malik selaku tetamu khas majlis tersebut memuji inisiatif McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC) itu.
“Pelaksanaan program berkebajikan seumpama McDonald’s Malaysia dan RMHC menerusi tanggungjawab sosial korporat secara tidak langsung menyumbang ke arah merealisasikan hasrat kerajaan negeri mendukung aspek kesejahteraan rakyat.
“Ia sangat bersesuaian dengan tema kerajaan negeri iaitu Bersih Muafakat Sejahtera,” kata beliau pada majlis itu bersama Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar.
Tambah beliau kerjasama erat antara sektor korporat dan kerajaan negeri amat penting dalam usaha mencapai keseimbangan sosioekonomi negara dan negeri.
Justeru katanya, penglibatan sektor korporat untuk turut berada di barisan hadapan dan berada seiring dengan pihak kerajaan menggalas tanggungjawab memastikan kesejahteraan masyarakat terbela jelas mencerminkan keprihatinan semua pihak terhadap konsep perkongsian kemakmuran untuk dinikmati bersama.
“Usaha menangani pelbagai isu yang dihadapi golongan kurang bernasib baik menjadi lebih berkesan apabila kerajaan, syarikat perniagaan dan masyarakat saling bekerjasama,” ujarnya.
Program Kembali ke Sekolah disokong oleh francaisi dan rakan-rakan perniagaan bertujuan menghulurkan bantuan kepada lebih daripada 17,000 murid sekolah rendah daripada golongan miskin bandar di seluruh negara dengan pemberian set pakaian sekolah baharu untuk persediaan memulakan sesi persekolahan tahun depan.
Setiap kanak-kanak menerima 1 set pakaian seragam sekolah, sepasang kasut sekolah dan sebuah beg sekolah. Keseluruhan sumbangan di bawah program Kembali ke Sekolah tahun ini dianggarkan melebihi RM1.7 juta.
Menurut Azmir, program berkenaan cukup istimewa kerana ia memberi bantuan kepada anak-anak sekolah rendah yang datang dari golongan kurang berkemampuan dan miskin bandar.
“Kami berharap usaha ini akan membantu mengurangkan beban kewangan keluarga yang terlibat dan memberi motivasi kepada anak-anak ini untuk memulakan tahun persekolahan yang baharu dengan penuh keyakinan.
“Hal ini amat penting kerana mereka adalah pemimpin masa depan negara kita. Semalam, kami sangat bertuah kerana Dr. Maszlee, Menteri Pendidikan telah hadir untuk majlis penyerahan pek ‘Kembali ke Sekolah’ di Kuala Lumpur,” katanya.
Bulan Komuniti yang dianjurkan McDonald’s Oktober ini juga melibatkan restoran-restoran McDonald’s di seluruh negara dengan memberi sumbangan kepada komuniti tempatan melalui lebih 170 program.
Sepanjang program ini, warga kerja restoran menjalankan pelbagai aktiviti sepanjang bulan ini termasuklah membawa kanak-kanak dari rumah anak-anak yatim untuk melawat pelbagai tempat menarik seperti zoo dan taman rama-rama; lawatan ke wad kanak-kanak di hospital; membersihkan rumah anak yatim sempena perayaan Deepavali dan meraikan kanak-kanak di restoran McDonald’s sempena sambutan Hari Kanak-kanak.
Kakitangan McDonald’s di ibu pejabat juga tidak ketinggalan melakukan aktiviti melibatkan komuniti, dengan aktiviti gotong-royong di dua buah sekolah pendidikan khas integrasi, menderma darah, dan mengunjungi wad kanak-kanak pada pertengahan Oktober yang lalu.- MalaysiaGazette