Home Dunia Punca kemalangan pesawat Lion Air bukan sebab mekanikal

Punca kemalangan pesawat Lion Air bukan sebab mekanikal

Beg duit milik salah seorang mangsa pesawat Lion Air yang terhempas ditemui oleh para penyelamat. foto CNN

JAKARTA – Pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Indonesia pada Isnin lalu merupakan salah satu pesawat keluaran Boeing yang baharu dan canggih.

Baharu berusia dua bulan dan beroperasi selama 800 jam.

Lantaran itu, kemalangan itu menimbulkan kebingungan dalam kalangan pakar untuk mencari punca pesawat 737 MAX 8 terhempas.

Walaupun tiada maklumat telah dikeluarkan mengapa pesawat baharu itu terhempas ke laut selepas 13 minit berlepas, FlightRadar24 telah menerbitkan data yang menunjukkan pesawat itu dalam keadaan tidak menentu semasa berlepas.

Kebiasaannya, pesawat naik dalam beberapa minit pertama penerbangan tetapi pesawat Lion Air pula mengalami penurunan sebanyak 726 kaki dalam masa 21 saat.

Pakar penerbangan Philip Butterworth-Hayes memberitahu CNN bahawa data itu luar biasa – terutamanya ketika pesawat berlepas yang biasanaya dikawal oleh sistem automatik pesawat.

“Ini tidak sesuai dengan profil penerbangan automatik. Ia menunjukkan kedudukan yang tidak stabil, bukan kebiasaan

“Kecuali, pesawat itu cuba membetulkan kedudukannya pada masa itu kerana beberapa sebab,” Butterworth-Hayes.

bangkai
Serpihan pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Indonesia pada Isnin lalu. foto CNN

Tambahnya, pada masa yang sama dengan peningkatan kelajuan, berlaku penurunan ketinggian, yang bermaksud pada ketika itu pesawat kehilangan kawalan.

Pesawat itu, yang baharu beroperasi sejak 15 Ogos lalu, semasa kejadian membawa 181 penumpang serta enam anak kapal kabin dan dua juruterbang, menuju ke Pangkal Pinang di Pulau Bangka Indonesia.

Sementara itu, bekas penyiasat Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat dan penganalisis penerbangan Peter Goelz berkata, data penerbangan Lion Air itu jelas menunjukkan ada isu dalam kedudukan dan kelajuan pesawat tersebut.

“Ada sesuatu yang jelas salah dalam kedua-dua kelajuan udara dan ketinggian yang menunjukkan sistem kawalan penerbangan.

“Ini adalah sistem fly-by-wire – sangat automatik – dan juruterbang mungkin tidak dapat menyelesaikan masalah dengan tepat pada masanya,” menurut Goelz.

Butterworth-Hayes berkata, memandangkan pesawat itu baharu sahaja berusi dua bulan, sudah tentu punca kemalangan bukan kesilapan mekanikal.

“Pesawat tidak jatuh dari langit. Saya tidak dapat memikirkan apa-apa masalah mekanikal selain kehilangan kuasa enjin yang tidak dijelaskan secara tiba-tiba (atau) kegagalan elektrik yang lengkap,” katanya. – MalaysiaGazette