KUALA LUMPUR – Umum mengetahui niat pengacara Zulin Aziz yang sepatutnya mendirikan rumah tangga dengan ahli politik daripada Indonesia tidak kesampaian.
Baru-baru ini Zulin mendedahkan tidak lagi berhubungan dengan jejaka itu dan perkahwinan tidak akan berlangsung.
Namun begitu, Zulin tetap menerusikan rakaman dan muzik video tanpa pasangannya semalam yang sepatutnya menjadi kejutan kepada bakal suaminya.
Rakaman live di Instagram miliknya turut memaparkan Zulin lengkap memakai busana perkahwinan.
“Saya harap tiada salah faham sebab saya sudah terangkan sebelum ini.Hari ini saya merakamkan muzik video lagu dan lirik ciptaan sepenuhnya oleh saya.
“Lagu tema perkahwinan saya ini pada awalnya untuk memberi kejutan pada bakal suami saya tetapi kita merancang Tuhan yang menentukan,” katanya.
Zulin menafikan lagu itu bakal dilancarkan sebagai single rasmi sebaliknya hanya untuk simpanan dan tontonan peminatnya.
“Kenapa saya masih teruskan? Ia bukan lagu single saya tetapi saya hanya mahu simpan di dalam YouTube sebagai pengalaman yang pernah berlaku dalam hidup saya ini untuk divisualkan dalam muzik video
“Ini bukan gimik kerana saya tidak mendapat apa-apa untung pun dari muzik video ini dan jelas saya bukan penyanyi. Saya harap lagu ini bakal memberi inspirasi dan semangat kepada wanita yang masih single seperti saya kerana ia ibarat doa untuk mereka,” ujarnya.
Namun katanya lirik lagu itu terpaksa diolah mengikut situasi dirinya yang terkini.
Dalam beberapa keping gambar yang dimuatnaik oleh pengacara itu, selain lengkap memakai busana perkahwinan, turut kelihatan pelamin tersergam indah dan rakan-rakannya yang dijadikan pengapit.
Pada awal Oktober lalu, Zulin mendedahkan majlis perkahwinannya terpaksa dibatalkan di saat akhir kerana hubungannya dengan seorang jejaka gagal dan putus di tengan jalan. -MalaysiaGazette