KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersetuju dengan beberapa cukai yang diperkenalkan Barisan Nasional (BN) dalam Bajet Bayangan pembangkang hari ini.
Menurut beliau, sememangnya negara memerlukan satu sistem percukaian yang lebih efektif diperkenalkan di negara ini yang tidak membebankan rakyat khususnya golongan B40.
“Kita setuju supaya sistem percukaian yang lebih efektif diperkenalkan dan jangan membebankan rakyat terbanyak, khususnya golongan B40.
“Kita harus melihat satu sistem percukaian yang lebih menyeluruh.
“Pada masa kini, kita yakin, walaupun SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) ini kutipannya akan berkurangan, tapi dengan satu sistem yang efektif, kita boleh tutup semua yang tiris dan bocor dan kurangkan belanja awam sekali gus kita akan dapat tingkatkan hasil,” ujarnya di lobi Parlimen hari ini.
BN menerusi Khairy Jamaluddin hari ini membentangkan bajet alternatif mereka dengan memperkenalkan enam cukai baru.
Antaranya cukai Cukai Soda, pada kadar RM0.25 bagi setiap liter dan Cukai Karbon dengan mengenakan caj RM10 bagi setiap tan metrik kepada kilang industri yang mengeluarkan gas rumah hijau sekurang-kurangnya 25,000 tan metrik.
Turut dicadangkan Cukai Beg Plastik menerusi caj RM0.15 yang akan memberikan pulangan sebanyak RM1.46 bilion setahun kepada kerajaan.
Selain itu, Cukai Kekayaan juga akan diperkenalkan terhadap individu yang mempunyai harta terkumpul tahunan melebihi RM10 juta sama ada melalui gaji, elaun, hartanah atau hasil pelaburan.
Juga diketengahkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan semula pada kadar 3 peratus.
“Kita ada mekanisme lain seperti menerusi tender tebuka, pembidaan terbuka dan juga tidak ada bocor selain menjamin prinsip ‘value for money’. Ini semua akan dapat meningkatkan hasil negara,” ujar beliau.
Mengulas berkenaan cadangan pelaksanaan semula GST oleh Khairy, Azmin berkata ia tidak akan dilaksanakan semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan.
“Bagi pihak kerajan, hari ini kita telah sifarkan kadar GST, jadi tidak timbul laksana GST pada kadar tiga peratus.
“Ini janji kita kepada rakyat untuk menghapuskan GST dan memperkenalkan SST dan ia telahpun dilaksanakan.
“Kalau BN ingin kemukakan manifesto atau cadangan mereka, kita serah kepada rakyat untuk menerima atau tidak cadangan itu,” katanya lagi. -MalaysiaGazette