KERALA – Seorang wanita warga emas berusia 98 tahun dari negeri Kerala, India lulus cemerlang peperiksaan Kelas IV semalam.
Peperiksaan itu dikendalikan oleh Lembaga Misi Literasi Kerala.
Karthiyaniamma Krishnapilla lulus dengan memperoleh markah sebanyak 98 peratus dalam peperiksaan tersebut sebelum perkara itu tular dalam media sosial.
Karthiyaniamma yang berasal dari Kampung Muttom di Alappuzha tidak pernah ke sekolah dan sebelum ini buta huruf.
Beliau menyara hidup harian dengan bekerja sebagai tukang cuci di beberapa rumah ibadat Hindu berhampiran perkampungannya.
Seramai 43,330 pelajar telah hadir ke peperiksaan yang dikendalikan dalam lima peringkat iaitu Kelas IV, VII,X,XI dan XII.
Daripada jumlah itu 42,933 lulus ujian itu dan Karthiyamma mengungguli peperiksaan bagi Kelas IV dengan 98 markah daripada 100 markah keseluruhannnya, kata pengarahnya lembaga berkenaan, PS Sreelatha.
“Dia (Karthiyaniamma) memang mengungguli peperiksaan dalam kelasnya dan kami sangat bangga dengan pencapaiannya kerana dia menyertai peperiksaan ini secara sukarela,” katanya kepada India Today.
Menurutnya, warga emas itu akan menerima sijil merit daripada Ketua Menteri Kerala Pinarayi Vijayan hari ini.
Ramai selebriti terkemuka Kerala antaranya Pengerusi Nahindra Group, Anand Mahindra dan Menteri Kesatuan Pelancongan Alphons Kannanthanam berkongsi pencapaian warga emas itu di media sosial.
“Saya gembira mencatatkan markah terbaik dalam peperiksaan VI kali ini. Kini saya tahu membaca, menulis dan mengira,” kata Karthiyaniamma kepada India Today sebagai berkongsi keterujaannya untuk tatapan umum.- MalaysiaGazette