Home Politik Ada tidur dalam hutan tak dapat terima kekalahan BN

Ada tidur dalam hutan tak dapat terima kekalahan BN

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bercakap pada Majlis Santai Bersama Najib Razak di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2018.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bercakap pada Majlis Santai Bersama Najib Razak di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa ada segelintir rakyat mengakui tidak dapat menerima hakikat kekalahan Barisan Nasional (BN) kalah pada PRU-14.

Jelas Najib, rata-rata mereka bertemunya secara langsung atau melawat beliau melahirkan rasa kecewa dengan kekalahan sehingga BN yang telah mentadbir negara lebih 60 tahun hilang.

“Ini adalah cerita benar tuan-tuan, puan-puan. Orang Asli dekat dengan kawasan Parlimen saya sanggup lari ke hutan dan tidur di hutan untuk berhari-hari kerana tidak dapat terima hakikat kita (BN) sudah kalah.

“Malah ada yang berhenti tengok televisyen sejak 9 Mei lepas sebenarnya. Ini adalah hakikat kerana rakyat tidak dapat terima realiti kekalahan ini,” katanya ketika sesi ‘Sembang Santai Najib’ bersama penyokong laman sosial beliau hari ini.

Seramai hampir 2,000 penyokong hadir dengan laungan ‘Hidup Najib’ dalam Dewan Tun Hussein Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra sejurus selepas beliau bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor sampai.

Moderator sesi tersebut, bekas pembantu khas Najib, Datuk Isham Jalil sebelum itu ketika pembukaan majlis berkata, program santai itu dilakukan buat julung kali kerana mahu memberi peluang kepada penyokong Najib untuk bertanyakan soalan.

“Kita bagi peluang kepada anda supaya boleh bertanyakan soalan yang boleh Najib bawanya ke Parlimen. Untuk makluman anda, rata-rata pemimpin PH sebenarnya sangat ‘gerun dengan beliau,” ujarnya. –MalaysiaGazette