Home Ekonomi Bon Samurai kurangkan risiko pinjaman dalam mata wang asing

Bon Samurai kurangkan risiko pinjaman dalam mata wang asing

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap pada sidang media berkenaan Belanjawan 2019 yang dibentangkan semalam pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 03 NOVEMBER 2018.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap pada sidang media berkenaan Belanjawan 2019 yang dibentangkan semalam pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 03 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR- Penerbitan bon Samurai sehingga JPY200 bilion (kira-kira RM7.4 bilion) bakal mengurangkan risiko akibat ketidaktentuan tukaran mata wang asing pada masa hadapan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, dengan kadar faedah yang jauh lebih rendah, bon itu lebih sesuai menggantikan pinjaman-pinjaman sedia ada dalam denominasi asing yang lain.

“Kami masih lagi berbincang (mengenai tujuan penerbitan bon Samurai). Antara yang telah dibincangkan adalah menggunakan sebahagian bon berkenaan untuk menggantikan pinjaman dalam denominasi asing yang lain yang mana melalui cara ini ia dapat mengurangkan risiko tukaran matawang asing,” katanya semasa sidang media di Parlimen hari ini.

Jelas Guan Eng, bon yang bakal diterbitkan sebelum Mac tahun depan itu menawarkan kadar faedah terendah iaitu 0.65 peratus jika dibandingkan dengan tempoh mata wang 10 tahun.

Menurut beliau, mengikut kebiasaannya kadar faedah serendah itu hanya diberikan kepada bon-bon bertempoh lima tahun.

Ini katanya adalah hasil hubungan baik antara Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan kerajaan Jepun.

“Kadar faedah yang ditawarkan sangat rendah iaitu hanya 0.65 peratus malah jika dibandingkan dengan pinjama-pinjaman sedia ada seperti 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) yang menawarkan kaedah sehingga enam dan tujuh peratus, ianya memang jauh lebih rendah,” katanya lagi.

Semalam, Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 mengumumkan penerbitan bon bertempoh 10 tahun dengan jaminan Japan Bank of International Cooperation pada kadar kupon 0.65 peratus.

Selain bakal digunakan untuk menggantikan bon denominasi asing sedia ada, bon Samurai juga akan digunakan untuk tujuan pembangunan.- MalaysiaGazette