SHAH ALAM – Manhajj Brothers Sdn. Bhd. menyasarkan seramai 100,000 pengguna akan mendapat manfaat daripada Aplikasi Manhajj yang merupakan kemudahan dan bimbingan secara dekat kepada umat Islam di negara ini dalam permasalahan ibadah umrah.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abd Halim Ikhsan berkata, jumlah itu mampu dicapai apabila pihaknya akan mula membawa jemaah pertama lebih 700 orang pada akhir tahun ini.
Beliau berkata, jemaah dapat mengguna Aplikasi Manhajj yang berperanan sebagai satu pendekatan baharu dan canggih dalam perancangan ibadah umrah termasuk pengurusan pendaftaran, pembayaran dan semakan selain memastikan pengguna menerima layanan yang memuaskan dan efektif.
Selain itu jelas beliau, aplikasi tersebut turut menghubungkan dalam kalangan pengguna menerusi laman hiburan yang bermanfaat di telefon bimbit dalam usaha menambah ilmu pengetahuan.
“Idea menghasilkan Aplikasi Manhajj tercetus apabila menyedari kepesatan teknologi maklumat yang berkembang dengan informasi berkaitan umrah dan permasalahan yang timbul.
“Ia merupakan satu langkah atau pendekatan yang diambil Manhajj Mutawwiff bagi membantu bakal jemaah untuk mempersiapkan diri menunaikan umrah.
“Aplikasi Manhajj ini bakal menjadi tunjang utama dalam menjalankan perniagaan di samping menjadi medium pembelajaran sepanjang hayat untuk komuniti Manhajj,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Aplikasi Manhajj dan Program Televisyen Manhajj Mutawwif musim kedua di IDCC Shah Alam, Menara Korporat di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah
Abd Halim menambah, antara ciri-ciri pintar yang terdapat dalam Aplikasi Manhajj apabila pengguna boleh muat naik status menerusi ikon Community.
Jelas beliau, gambar-gambar juga boleh dimuat turun melalui Kalam Manhajj dan memiliki ciri senarai semak bagi membantu persediaan jemaah umrah.
“Aplikasi Manhajj juga mempunyai ‘panic button’ sekiranya berlaku kecemasan di Tanah Suci Makkah dan Madinah apabila kelebihannya dapat menghubungkan antara jemaah dan mutawwif sekiranya berlaku sebarang kecemasan di Tanah Suci.
“Pada masa sama, pengguna boleh membuat pilihan pakej dan pendaftaran umrah secara terus melalui Register Umrah serta soalan-soalan beserta jawapan berkaitan permasalahan umrah,” katanya.
Abd Halim memberitahu, Aplikasi Manhajj turut memiliki kelebihan apabila menawarkan Kursus Umrah yang lengkap secara atas talian dan paling istimewa mempunyai senarai semak bagi membantu jemaah menunaikan ibadah umrah.
Selain itu jelas beliau, pelbagai informasi menarik turut dibekalkan kepada pengguna.
Beliau berkata, Aplikasi Manhajj dibangunkan selama empat bulan termasuk merangka dan menyediakan isi kandungan aplikasi. – MalaysiaGazette