SIBU – Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin akan membawa kemelut keanggotaan yang melanda PKR cabang Julau ke satu mesyuarat peringkat pusat parti pada minggu depan.
Beliau berkata, pucuk pimpinan parti perlu meneliti serta membincangkan permasalahan tersebut bagi mengelakkannya berterusan.
Katanya, perkara tersebut pernah dibangkitkan tetapi setakat ini belum ada keputusan jelas dicapai.
“Saya ingat dah beberapa kali di bawa ke peringkat pusat (PKR) tapi seolah-olah tidak ada keputusan jelas. Saya harap minggu depan ada satu lagi mesyuarat yang boleh kita bincangkan lagi untuk kebaikan parti, satu keputusan bijak dan adil harus dibuat.
“Kita hanya ada (masa) satu minggu sahaja lagi, esok (sudah) Isnin sampai Jumaat. Kita tengok apa keputusan dibuat pucuk pimpinan samada untuk meneruskan (pemilihan PKR cabang Julau) atau menangguh,” katanya pada sidang media malam ini selepas membuat tinjauan ke beberapa rumah panjang kawasan daerah Sibu dan Kanowit pada sebelah siang.
Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut melawat Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit.
Kemelut yang melanda PKR cabang Julau semakin hangat apabila banyak laporan polis berhubung senarai keanggotaan cabang itu malah ada yang sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
— BERNAMA