Home Seni Hidup Jose Flizzow menang Penghibur Terbaik Asia Tenggara

Jose Flizzow menang Penghibur Terbaik Asia Tenggara

Joe Flizzow

KUALA LUMPUR – Artis hip hop popular, Joe Flizzow berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila dipilih sebagai Penghibur Terbaik Asia Tenggara pada MTV EMA 2018 di Bilbao Exhibition Centre, Bilbao di Sepanyol, hari ini.

Penyanyi berusia 38 tahun itu menewaskan Afgan dari Indonesia; IV of Spades (Filipina); Minh Hang (Vietnam); Slot Machine (Thailand); The Sam Willows (Singapura) dan Twopee Southside (Thailand).

Joe berkata, kejayaan itu memberi simbolik dan impak yang sangat besar kepada kariernya.

“Saya bersyukur dan terharu kerana seluruh Malaysia menyokong saya. Kemenangan ini diharap memberi inspirasi kepada generasi muda untuk tidak berhenti mengejar impian dan berusaha keras mengecapi cita-cita.

“Anugerah ini saya tujukan kepada keluarga, pasukan saya di Sony Kartel dan pengurus, Yaniz Merican. Terima kasih atas kesetiaan dan dedikasi anda.

“Sudah tentu juga buat peminat atas sokongan dan kasih sayang yang tidak pernah pudar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

MTV EMA 2018 yang boleh ditonton secara penstriman mulai jam 3 pagi ini waktu tempatan, memilih pemenang melalui undian global di www.mtvema.com.

MTV EMA 2018 dihadiri artis antarabangsa antaranya Hailee Steinfeld, Nicki Minaj, David Guetta, Jason Derulo, Marshmello, Bastille, Anne-Marie, Jack & Jack dan penerima anugerah Ikon Global, Janet Jackson.

Joe memulakan kerjaya seninya bersama Malique melalui kumpulan Too Phat pada era 1990-an.

Pada 2013, lagu Apa Khabar yang dihasilkannya mencipta sejarah pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-29 apabila muncul sebagai lagu hip hop pertama diangkat sebagai Juara Lagu. – MalaysiaGazette