KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan di Selangor dijangka mengalami hujan dan ribut petir petang ini.
Laman sesawang Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca seperti itu akan berlarutan sehingga Ahad.
Antara kawasan yang terjejas termasuk Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.
Bagaimanapun, cuaca dijangka baik pada waktu pagi, namun berubah kepada ribut petir pada waktu petang dan hujan di satu dua tempat, pada sebelah malam.
Dalam pada itu, sepanjang sambutan Deepavali hari ini, MetMalaysia meramalkan hujan berlaku di satu dua tempat sahaja.
Angkatan Pertahanan Awam Selangor melalui Facebook rasminya mengingatkan penduduk di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa berwaspada.
Ia berikutan Sungai Tengi di Kuala Selangor menerima bacaan paras air tinggi selepas berlaku ribut petir, bermula petang semalam. – MalaysiaGazette