Home Seni Hidup Zulin terkilan didakwa jual cerita peribadi demi publisiti

Zulin terkilan didakwa jual cerita peribadi demi publisiti

Zulin Aziz dengan busana persandingan

KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi,  Zulin Aziz mengaku terkilan dengan dakwaan ingin meraih publisiti murahan dengan merakamkan muzik video perkahwinannya yang tidak kesampaian.

Sebaliknya pemilik naman sebenar Farah Azleenda Abd Aziz, 28, itu  melihat lagu berkenaan daripada sudut positif atau motivasi kepada sesiapa yang pernah melalui fasa kecewa dalam hubungan sepertinya untuk terus semangat menempuh kehidupan.

“Saya tidak minta simpati, jadi saya terkilan apabila dikatakan sengaja meraih publisiti murahan dengan ‘menjual’ cerita peribadi untuk memperkenalkan lagu itu.

“Hanya mereka yang pernah melalui pengalaman pahit itu mengerti betapa sakitnya apabila dikecewakan. Sakit bagaimana sekali pun pengalaman, jangan sesekali meratapi nasib diri.

“Selalu ingat Allah sentiasa ada dan itu yang memberikan saya kekuatan untuk berkongsi pengalaman. Lagu ini adalah ‘dakwah’ saya kepada insan senasib, membuatkan saya langsung tidak terfikir untuk mengaut keuntungan,” katanya bekas penyampai radio itu.

Zulin dalam masa yang sama menafikan sekerasnya telahan netizen kisah hubungannya yang tidak berpanjangan dengan ahli politik yang dikatakan daripada Indonesia sebagai gimik semata-mata untuk lagu tersebut.

“Jika memang benar saya mahu melakukan gimik, untuk apa saya jelaskan panjang lebar perkara sebenar sebelum video muzik ini dilancarkan.

“Saya keliru dengan sikap segelintir netizen, malah tidak tahu apa sebenarnya yang mereka ingin buktikan. Saya buat lagu ini bukan untuk meraih keuntungan kerana ia tidak dijual di mana-mana platform digital atau dipromosikan,”tambahnya yang turut memaklumkan sepatutnya majlis perkahwinannya dengan jejaka itu berlangsung dua bulan yang lalu.

Walaupun mendapat kecaman dan kritikan netizen Zulin bersyukur kerana lagu itu meraih 1.7 juta tontonan selepas lima hari dimuatnaik di Youtube.

Zulin yang sebelum ini pernah menghasilkan single, Terbiar dan Keliru menerusi Ig Storynya pernah memaklumkan bahawa hubungannya tidak berakhir di jinjang pelamin apabila lelaki tersebut tiba-tiba menghilangkan diri tanpa khabar berita. -MalaysiaGazette