Home Nasional Pelajar sekolah antara ditahan sertai parti liar di sebuah kondo

Pelajar sekolah antara ditahan sertai parti liar di sebuah kondo

Ketua Polis Serdang ACP Ismadi Borhan (tengah) pada sidang media.

KUALA LUMPUR – Sembilan pelajar sekolah antara 45 orang yang ditahan ketika menyertai parti liar di sebuah kondominium di Seri Kembangan dekat Serdang, kelmarin.

Dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada kira-kira 3.45 pagi itu, kesemua individu berkenaan berada dalam keadaan khayal dipercayai akibat pengambilan dadah dan alkohol.

“Parti liar itu dipercayai diadakan lebih 24 jam dan kesemua suspek menerima jemputan tertutup melalui media sosial selain perlu membayar caj masuk sekurang-kurangnya RM60,” kata Ketua Polis Serdang ACP Ismadi Borhan pada sidang media, di sini hari ini.

Katanya mereka yang ditahan berusia antara 14 tahun dan 26 tahun, iaitu lapan perempuan dan 37 lelaki termasuk pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di premis itu polis merampas 11 biji pil ekstasi dan dua peket plastik mengandungi serbuk ketamin.

“Ujian air kencing ke atas semua suspek mendapati hanya 32 orang positif dadah jenis methamphetamine manakala seorang lagi positif ganja,” kata Ismadi.

Kesemua individu itu ditahan reman empat hari mulai semalam, katanya.

Siasatan awal polis juga mendapati terdapat beberapa lagi kumpulan remaja dan belia yang aktif menganjurkan parti seumpama itu di sekitar Lembah Klang.

— BERNAMA