Home Nasional Isa akan didakwa lagi?

Isa akan didakwa lagi?

Isa Samad
Mohd Isa Samad

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka mengambil tindakan ke atas Tan Sri Mohd Isa Samad berhubung pembelian hotel di Kuching, Sarawak pada tahun 2014 tidak lama lagi.

Difahamkan kertas siasatan pembelian Hotel Istana Merdeka yang dilaporkan dibeli melebihi nilai pasaran pada ketika itu sedang dilengkapkan.

Sumber yang dipetik NST berkata, siasatan yang dibuat oleh SPRM itu akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Bukti-bukti sebelum ini tidak mencukupi disebabkan akses yang terhad tetapi siasatan telah dimulakan susulan bukti baharu.

“SPRM akan menyerahkan kertas siasatan yang lengkap kepada Peguam Negara minggu depan bagi arahan seterusnya,” kata sumber itu.

Sementara itu, sumber lain berkata, SPRM juga sedang melihat pertuduhan lain terhadap Mohd Isa di bawah Seksyen 23, Akta SPRM kerana menyalahguna kuasa.

Beliau berkata, Peguam Negara Tommy Thomas juga telah diberi taklimat mengenai siasatan kes itu beberapa hari yang lalu.

Istana Merdeka adalah sebuah hotel bertaraf lima bintang dengan 213 bilik, yang dibeli oleh Felda Investment Corporation pada harga RM160 juta, yang sepatutnya bernilai RM110 juta. – MalaysiaGazette