Home Nasional Kongsi maklumat kerajaan dengan pembangkang

Kongsi maklumat kerajaan dengan pembangkang

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR –  Kerajaan dicadang berkongsi maklumat sewajarnya seperti perbelanjaan dan perolehan kerajaan khususnya kepada anggota Parlimen pembangkang dalam usaha memastikan tidak berlaku sebarang ketirisan, kata Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, usaha itu adalah selaras dengan usaha kerajaan mereformasi Parlimen sebagai sebuah institusi demokrasi yang terpenting dalam negara dan tidak lagi dianggap cap getah sahaja.

“Mungkin (maklumat) kerajaan dahulu banyak dirahsiakan sehingga menimbulkan kritikan, namun sekiranya kerajaan serius mahu menangani gejala rasuah kuncinya pada pembangkang yang boleh memainkan peranan semak dan imbang.

“Kitalah yang akan memantau perbelanjaan kerajaan, projek-projek besar dan kontrak-kontrak yang dianugerahkan kerajaan,” katanya selepas menjadi tetamu program ‘SPRM 360’ di Bernama Radio hari ini.

Program SPRM 360 adalah rancangan radio yang melibatkan kerjasama antara radio Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), MACC.fm dan Bernama Radio dalam mengetengahkan isu-isu rasuah, integriti dan tadbir urus.

Khairy berkata, dalam memastikan reformasi Parlimen berjaya, kabinet bayangan pembangkang juga perlu diiktiraf dan diinstitusikan supaya dapat melakukan semakan secara menyeluruh.

Beliau turut mencadangkan supaya pelantikan jawatan-jawatan penting dalam kerajaan pada masa akan datang seperti Peguam Negara dan Ketua Pengarah SPRM juga dibuat melalui proses di Parlimen. – MalaysiaGazette