KUALA LUMPUR – Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memberi bayangan akan terdapat lebih ramai bekas pemimpin Wanita UMNO akan menyertai sayap itu.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar juga hanya tersenyum apabila ditanya sama ada keputusan bekas Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin akan mengikut jejak Tan Sri Rafidah Aziz menyertai PPBM.
“Kita tunggu dan lihat tetapi saya memang ada berjumpa beberapa kali dengan Mas Ermieyati dan kali terakhir pada bulan lalu.
“Pertemuan kami melibatkan isu masalah sebagai wakil rakyat dan saya di pihak kerajaan sedia mendengar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Parlimen Titiwangsa di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas sama ada terdapat Ahli Parlimen wanita dari UMNO yang akan menyertai PPBM selepas Rafidah mengumumkan hasratnya menyertai parti pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mengulas tindakan bekas Ketua Wanita UMNO itu, Rina berkata, Srikandi mengalu-alukan kehadiran Rafidah yang dianggap sebagai ikon kaum wanita.
Beliau berkata, pengalaman dan ilmu Rafidah yang juga bekas menteri mampu memberi manfaat kepada Srikandi pada masa akan datang.
“Rafidah sudah bersama kita sebelum PRU14 lagi apabila menentang kerajaan Barisan Nasional sebagai kleptokrasi.
“Pada masa sama, bekas pemimpin wanita UMNO lain yang berhasrat menyertai Bersatu akan ditapis dahulu sama ada memilik kes atau tidak,” katanya. – MalaysiaGazette