Home Ekonomi Pertumbuhan KDNK 4.9% tahun 2019

Pertumbuhan KDNK 4.9% tahun 2019

Johan Mahmood Merican

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sedikiit lebih baik pada 4.9 peratus pada 2019 berbanding unjuran 2018 pada 4.8 peratus, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Pengarah Pejabat Belanjawan Negara, Johan Mahmood Merican berkata, kementerian kekal pada unjuran itu walaupun beberapa pengulas percaya situasi tersebut akan semakin lemah apabila unjuran 2018 dan 2019 dibandingkan.

Bekas ketua pegawai eksekutif Talent Corporation Malaysia itu berkata Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK pada 5.9 peratus pada 2017, manakala bagi tahun ini ia menjadi sedikit sederhana.

“Penting untuk rakyat Malaysia memahami bahawa ini adalah kesan unjuran ekonomi global apabila badan antarabangsa, termasuk Tabung Kewangan Antarabangsa, menyemak turun unjuran pertumbuhan mereka.

“Ini sebahagian kesan daripada antara faktor utama iaitu perang perdagangan Amerika Syarikat-China serta Malaysia sebagai ekonomi perdagangan terbuka, yang terjejas disebabkan perang perdagangan berlanjutan, yang mungkin lebih buruk.

“Kita yakin dengan strategi yang ditetapkan MoF, khususnya yang bertujuan memastikan masih terdapat pertumbuhan yang dirangsang menerusi perkongsian awam-swasta yang lebih baik.

“Kita percaya terdapat langkah dan strategi mencukupi dilaksanakan kerajaan untuk memastikan kita dapat mengekalkan atau menjadi sedikit lebih baik bagi unjuran pertumbuhan 2018,” katanya kepada Bernama.

Mengenai defisit, Johan berkata pada 2017, Malaysia merekodkan defisit 3.0 peratus, dan seperti diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ia meningkat kepada 3.7 peratus tahun ini dan kerajaan mensasarkan untuk mengurangkannya kepada 3.4 peratus pada 2019 dan tiga peratus pada 2020.

“Selain itu, kita berpegang kepada komitmen kerajaan ke arah pengukuhan fiskal dengan pengurangan defisit kepada 3.4 peratus hingga tiga peratus, namun pada masa sama kerajaan baharu melihat ini sebagai tempoh peralihan,” katanya.

Beliau berkata, defisit yang lebih tinggi berbanding tahun lepas, sebahagiannya mencerminkan defisit yang diumumkan sebelum ini, bukan gambaran kepada situasi sebenar, memandangkan pergantungan kepada perbelanjaan lembaran imbangan telah mengakibatkan hutang melebihi RM1 trilion.

Johan berkata, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah komited untuk menilai keperluan membetulkan semula keadaan hutang yang berlebihan itu, justeru, terdapat strategi kerajaan yang digariskan dalam Belanjawan 2019 untuk benar-benar menyaksikan angkah yang boleh dilaksanakannya bagi mengurangkan paras hutang.

“Jangkaan perbelanjaan mengurus pada 2018 adalah RM235.5 bilion, namun bagi 2019 kita menjangkakan sebanyak RM259.8 bilion walaupun ia mungkin dilihat meningkat, sebenarnya tidak.

“Ia dilihat seolah-olah satu peningkatan namun disebaliknya adalah tumpuan kerajaan ke arah pengukuhan fiskal,” katanya.

Johan berkata, keadaan itu berlaku kerana pada 2019 kerajaan memutuskan untuk membayar balik secara ‘one-off’ bagi Cukai Barang dan Perkhidmatan serta membuat bayaran balik cukai pendapatan kerana wang ini terkumpul daripada pentadbiran terdahulu yang tidak pernah membayar balik kepada perniagaan.

“Ia merupakan kepentingan moral oleh kerajaan untuk membayar balik wang yang bukan milik kita, itu sebabnya anda mempunyai item ‘one-off’ pada 2019.

“Jika anda mengambil kira elemen itu, anda akan melihat pengurangan bersih dalam perbelanjaan mengurus kerajaan hampir RM9 bilion. Itulah perkara yang paling penting dalam usaha pengukuhan fiskal, apabila aspek pembayaran balik ditangani, akan berlaku pengurangan dalam perbelanjaan,” katanya. – MalaysiaGazette