KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sedang menilai kesan cukai jualan sebanyak lima peratus ke atas produk petroleum pada 2019 oleh Sarawak.
Katanya, Petronas yang sedang memantau perkembangan itu akan mendapatkan penglibatan Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sarawak 2019 baru-baru ini mengumumkan kerajaan negeri itu akan mengenakan cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum.
Katanya, levi cukai jualan ke atas produk petroleum – minyak mentah, gas asli, gas cecair asli, baja kimia dan produk gas hingga cecair – adalah hak Kerajaan Negeri Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Cukai ke atas produk petroleum itu dianggar sejumlah hampir RM4 bilion.
Menteri Hal-Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang turut mengulas cukai itu berkata, tindakan Kerajaan Negeri Sarawak itu akan memberi impak bukan sahaja kepada Petronas malah pasaran produk berkenaan. – MalaysiaGazette