Home Nasional Denda menanti kontraktor sebabkan banjir kilat 

Denda menanti kontraktor sebabkan banjir kilat 

Khalid Abdul Samad
Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 12 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan mengakui fenomena banjir kilat di sekitar Lembah Klang yang berlaku pukul 4.30 petang semalam berpunca daripada saluran perparitan tersumbat akibat kerja-kerja pembinaan.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, beliau telah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memastikan tapak projek pembangunan terlibat diuruskan agar insiden itu tidak berulang.

“Saya pun sudah bincang dengan Datuk Bandar, kita akan ambil tindakan menentukan semua perparitan tersumbat itu diuruskan.

“Kontraktor terlibat pula perlu memastikan kerja-kerja (pembinaan) mereka tidak menyebabkan perparitan tersumbat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Petang semalam banjir kilat di ibu negara menyebabkan beberapa jalan utama tidak dapati dilalui malah sesetengahnya pula dinaikki air hingga menenggelamkan lima buah kereta dan sebuah bas.

Antara kawasan terjejas ialah Jalan Tun Razak, Jalan Cheras, Jalan Tun Perak, Bulatan Jalan Cheras, Jalan Loke Yew sekitar kawasan projek Razak City, Ampang dan Pandan.

Fenomena singkat itu juga menyebabkan beberapa jalan raya menghala ke ibu kota tidak dapat dilalui terutama di Jalan Sungai Besi berdekatan Projek Razak City.

Khalid juga tidak menolak untuk mengenakan tindakan tegas termasuk denda mandatori kepada mana-mana kontraktor yang membiarkan saluran perparitan tersumbat akibat kerja-kerja pembinaan di tapak projek.

“Masalah kita banyak program atau projek pembangunan yang berjalan di mana sebahagian daripadanya memang sukar kita kawal 24 jam.

“Kita kena tentukan pengawasan dan pengawalan terhadap tapak projek ini lebih teliti.

“Kita mungkin fikirkan cara atau denda terhadap kontraktor-kontraktor kalau didapati kerja-kerja mereka menghalang atau menyekat saluran air,” katanya.

Beliau berkata, rekabentuk sistem perparitan di ibu negara sepatutnya dapat menampung jumlah air yang banyak meskipun hujan yang turun lebih dua jam semalam.

“Semalam pun kadar hujan yang turun pun agak luar biasa dan saya tak dapat lagi laporan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Berdasarkan maklumat yang saya terima hujan selama lebih dua jam. Sepatutnya perparitan kita masih boleh tampung kerana rekabentuknya boleh bertahan bagi banjir di paras teruk dalam tempoh 100 tahun,” katanya. – MalaysiaGazette