Home Nasional Rosmah akan didakwa lagi?

Rosmah akan didakwa lagi?

Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor mungkin dihadapkan ke mahkamah sekali lagi, kali ini berkaitan projek hibrid solar untuk sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion.

The Star Online yang memetik sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka menghadapi tuduhan bersama bekas pembantunya Rizal Mansor.

Menurut laporan itu, pendakwaan bagi kedua-dua mereka akan dibuat pada minggu ini.

Namun, ia tidak menjelaskan peranan Rosmah dalam rundingan itu atau pertuduhan yang akan dikenakan ke atas beliau, menurut laporan itu.

Projek hibrid itu mencetuskan kontroversi apabila pada Jun lalu, Sarawak Report mendakwa kontrak tersebut diberikan kepada syarikat yang berpangkalan di Bintulu, Jepak Holdings Sdn Bhd.

Jepak Holdings adalah syarikat perkhidmatan pengangkutan yang didakwa mendapat kontrak itu atas arahan Najib.

Bagaimanapun, sumber itu berkata, pendakwaan ke atas bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid belum dilakukan.

Mahdzir turut disiasat oleh SPRM berkaitan projek sama pada bulan lalu.

Najib juga telah dipanggil oleh SPRM pada Khamis lalu untuk membantu siasatan sebagai saksi bagi beberapa kes, salah satunya projek hibrid solar. – MalaysiaGazette