Home Utama Buang perangai pembangkang – CheguBard

Buang perangai pembangkang – CheguBard

Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard
Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu menampilkan sesuatu yang baharu dan berhenti menyalahkan Kerajaan dahulu.

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrulhisham Shaharin berkata, ramai sudah mula bosan dengan Kerajaan PH kerana sejak enam bulan lalu hanya mencari alasan menyalahkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sahaja.

“Contohnya tidak mampu menunaikan janji memansuhkan PTPTN maka Najib dan BN disalahkan. Tidak mampu menurunkan harga barang dan kos kehidupan maka jalan mudah setakat ini menyalahkan kerajaan lama.

“Cukuplah dan jangan sampai rakyat bosan. Ini masa menunai janji,” katanya dalam kenyataan di sini sambil menyatakan sokongan terhadap saranan Tun Daim Zainuddin yang mahu kerajaan sekarang henti menunding jari kepada kerajaan lama.

Beliau yang dikenali sebagai CheguBard menambah, rakyat sudah tahu dan arif dengan kebobrokan kerajaan lama, lantaran itu telah menolak BN.

CheguBard menambah, dalam 12 bulan pertama sepatutnya Kerajaan PH sudah tampil dengan sesuatu yang baharu, contohnya kad laporan pencapaian menteri harus diperkenalkan.

Menteri yang hanya pandai bercakap dan tidak mampu mengendalikan kementerian dengan baik perlu dihukum potong gaji atau tukar sahaja dengan mereka yang lebih layak.

Pendekatan sama juga perlu dilaksanakan pada lantikan politik dan syarikat berkaitan kerajaan.

Jelasnya, idea seradikal ini perlu bagi menghargai perubahan Mei 2018.

“Bukan untuk menutup kes rompakan dan penyelewengan lama, mereka yang bersalah wajib dihukum dan harta rompakan harus dikembalikan.

“Rakyat juga ingin melihat perubahan bukan hanya retorik dan alasan. Sehingga hari ini banyak keluhan dalam kehidupan rakyat sehingga menyingkirkan BN masih belum terjawab,” ujar beliau lagi.

Menurutnya, senario mendedahkan dokumen-dokumen perjanjian harus dikawal, justeru, menteri harus mentadbir bukan hanya terperangkap dengan mentaliti pembangkang untuk melakukan pendedahan.

Katanya, pendedahan yang tidak perlu hanya memberikan kesan impak ekonomi khususnya pada pelabiran asing. – MalaysiaGazette