Home Nasional Kerajaan hanya mampu bersimpati, belum putus hukum mati pembunuh Zara

Kerajaan hanya mampu bersimpati, belum putus hukum mati pembunuh Zara

Liew Vui Keong
Pemansuhan hukuman mati yang diusahakan kerajaan tidak mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan tertuduh kes itu, Sirul Azhar Umar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

KUALA LUMPUR – Walaupun mendapat desakan pelbagai pihak termasuk pemimpin politik berhubung pemansuhan hukuman mati boleh diberi pengecualian untuk kes-kes tertentu, kerajaan masih bertegas dengan keputusan tersebut.

Kematian tragis bayi sembilan bulan yang bukan sahaja maut selepas dipukul sehingga tempurung kepalanya pecah malah juga telah dirogol oleh suami kepada pengasuh bayi malang itu di Bandar Baru Bangi pada Khamis lalu.

Rata-rata mereka mahu hukuman berat seperti gantung sampai mati mandatori ini dikekalkan untuk kes-kes seperti ini bagi memastikan keadilan setimpal dapat diberikan.

Bagaimanapun, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, jemaah menteri secara kolektif telah memutuskan pada 10 Oktober lepas supaya hukuman mati bagi 32 kesalahan di bawah 8 akta dimansuhkan.

“Kerajaan amat bersimpati dengan ahli keluarga mangsa dan mengucapkan takziah. Kita sangat memahami penderitaan yang telah dilalui oleh mangsa serta keluarga mereka.

“Pada masa yang sama, akta-akta yang dimansuhkan untuk hukum mati termasuk Kanun 302, hukuman gantung sampai mati bagi pembunuhan sudah dimansuhkan untuk kes bunuh.

“Ketika ini, Memorandum Jemaah Menteri telah diedarkan kepada semua Kementerian bagi mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan termasuk orang awam sebelum membuat keputusan hukum mati ini kelak,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat tadi.

Beliau menjawab soalan serta cadangan oleh Ahli Parlimen Bandar Kuching (PH), Dr Kevin Yii Lee Yuen yang mahu kerajaan menyatakan pendirian dalam memansuhkan hukuman mati sama ada akan memberikan pengecualian kepada jenayah kejam seperti kematian bayi Zara.

Lee Yuen juga memberikan cadangan agar sebuah Jawatankuasa Pemilihan Parlimen di tubuhkan bagi menentukan pengecualian tersebut bagi kes ini dan jenayah kejam terutamanya terhadap kanak-kanak.

Selain daripada beliau, Ahli Parlimen Kota Bharu (Pas), Datuk Takiyuddin Hassan mahu penjelasan adakah pendirian kerajaan tidak berubah dalam isu pemansuhan hukuman mati termasuk kes bunuh yang ‘sengaja’ dilakukan yang jatuh di bawah Kanun Keseksaan 302.

“Adakah kerajaan akan mempertimbangkan mansuh hukum mati apabila kes-kes seperti bunuh dengan sengaja, bunuh dan rogol, rompak dan bunuh, dera dan bunuh terutamanya yang membabitkan bayi serta kanak-kanak,” soal Takiyuddin.

Vui Keong dalam maklum balasnya berkata, kerajaan akan mengambil maklum semua cadangan yang diberikan sebelum sebarang keputusan dibuat tentang hukum mati mandatori ini kelak.

“Kita akan ambil kira pandangan awam dan bahawasanya keputusan menyeluruh akan  diambil,” katanya.

Kata Vui Keong yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi (PH), jemaah menteri telah memutuskan secara kolektif supaya  hukuman mati bagi 33 kesalahan dibawah 8 akta dimansuhkan.

“Lpaan akta tersebut adalah Kanun Keseksaan; Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971; Akta 37 Akta Senjata 1960; Akta Penculikan 1961; Akta Angkatan Tentera 1972; Akta Industri Perkhidmatan Air 2006; Akta Perdagangan Strategik 2010; Akta Dadah Berbahaya 1952 ,” ujarnya.

Terdapat 18 kesalahan jenayah yang memperuntukkan hukuman mati, termasuk mengedar dadah, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, keganasan, membunuh, membunuh mangsa ketika penculikan, memiliki dan menggunakan senjata api, merogol sehingga menyebabkan kematian dan merogol kanak-kanak.

Dalam pada itu, seramai 1,267 banduan berdepan hukuman mati di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 sehingga kini, tetapi hukuman itu tidak dilaksanakan sejak 2014.

Kerajaan berhasrat memansuhkan hukuman gantung sampai mati dan menggantikannya dengan hukuman penjara seumur hidup. –MalaysiaGazette

+ posts