KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengkaji dan memperhalusi mekanisme terperinci bagi pemberian subsidi kepada pemilik kereta supaya pelaksanaannya bukan sahaja mengambil kira kapasiti enjin kereta tetapi juga model kereta.
Menteri Kewangan berkata, dengan kata lain, sekiranya ada kereta mewah yang berkapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah, mereka tetap tidak akan layak untuk menerima subsidi bersasar kerana kerajaan juga akan melihat dari segi model atau jenis kereta.
Contohnya, kereta mewah seperti Mercedes, BMW, Land Rover, Audi atau Volkswagen yang berkapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah tidak akan menikmati subsidi petrol bersasar ini.
Dengan ini tidak timbul isu bahawa kereta mewah juga akan menikmati subsidi petrol bersasar, kata Lim Guan Eng.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (Baling-BN) yang bertanya adakah Kerajaan bercadang untuk
menurunkan harga minyak RON 95 dan RON 97 dalam masa terdekat.
Dalam pembentangan Belanjawan 2019 baru-baru ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan sistem subsidi petrol secara bersasar dengan memberi subsidi kepada pemilik sebuah kereta sahaja yang berkapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah atau motosikal berkapasiti enjin 125cc dan ke bawah.
Guan Eng berkata, melalui sistem subsidi petrol ini, kerajaan akan memberi subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter bagi motosikal yang dijangka bermula pada suku kedua 2019.
Kerajaan memperuntukan sebanyak RM2 bilion dan dijangka dapat memanfaatkan seramai 4 juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal.
Harga minyak mentah sekarang adalah kira-kira AS$69 setong (Brent) dan harga jualan runcit RON97 sekarang adalah RM2.53 seliter.
Harga RON97, petrol premium yang tidak akan menerima subsidi bersasar adalah RM2.43 seliter manakala harga diesel adalah RM2.34 seliter.
Ini berbanding dengan harga jualan runcit sebanyak RM2.20 seliter untuk RON95 dan RM2.18 seliter untuk diesel.
Tambah Guan Eng, bagi meningkatkan kecekapan penggunaan sumber di samping membendung ketirisan berikutan perbezaan harga minyak, penyeludupan rentas sempadan dan masalah serius pembelian diesel di stesen pam minyak oleh industri, kerajaan akan mengapungkan semula harga petrol RON95 di pasaran berdasarkan Automatic Price Mechanism (APM).
Kerajaan juga akan mengkaji keperluan untuk melaksanakan sistem yang serupa untuk penjualan diesel di stesen pam minyak supaya ia boleh digunakan oleh rakyat biasa dan bukan perniagaan. – MalaysiaGazette