KUALA LUMPUR – Kerajaan komited memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan tahanan golongan kelainan upaya (OKU) pada masa depan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman mengakui walaupun pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mempunyai garis panduan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) namun tidak mencukupi.
Sebaliknya, kata Azis, PDRM mempunyai SOP dalam urusan tangkapan orang kena tuduh (OKT) namun tidak mempunyai garis panduan khas tentang bagaimana mahu mengendalikan tahanan dari golongan OKU.
“Ini sebenarnya cabaran yang agak besar buat kita ketika ini. Baru-baru ini, wujud situasi cemas apabila seorang induvidu autism yang ditahan dalam lokap sehingga menyebabkan ramai melahirkan rasa tidak senang dengan insiden tersebut.
“Kita juga akui ada kelemahan yang perlu kita tambahbaik dan ketika ini kita sedang dalam peringkat kajian. Dalam masa terdekat, ianya akan diumumkan oleh PDRM nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika di soal oleh Ahli Parlimen Gelugor (PH), Ramkarpal Singh yang memohon kerajaan menyatakan sama ada bercadang untuk menubuhkan SOP khusus bagi penahanan dan pengendalian orang kena tuduh dari kalangan OKU.
Mohd. Azis mengulas tentang penangkapan serta penahanan Ahmad Ziqri Morshidi yang berusia 22 tahun pada 11 September lepas terus menjadi perhatian masyarakat umum khas netizen dengan pelbagai persepsi.
Walaupun perintah tahanan reman oleh pihak polis itu mendapat bantahan hakim dan dilepaskan dengan jaminan polis namun kes itu terus menjadi bualan umum sehingga hari ini.
Penahanan serta permohonan reman empat hari oleh pihak berkuasa menyebabkan rata-rata netizen melahirkan rasa tidak puas hati dengan cara Ahmad Ziqri ditahan.
Tidak kurang juga yang melahirkan rasa simpati terhadap mangsa yang ternyata dalam keadaan trauma manakala ada pihak juga membela tindakan polis mengikut SOP sedia ada.
Ahmad Ziqri merupakan seorang pesakit austism didakwa meraba seorang gadis ketika sambutan hari jadi di sebuah restoran sehingga menyebabkan keluarga mangsa membuat laporan polis sebelum ditahan polis.
Ahmad Ziqri yang sebenarnya mempunyai kapasiti mental budak berumur 13 tahun itu terpaksa bermalam di lokap pada hari jadinya akibat kejadian terbabit.
Mohd. Azis yang merupakan Ahli Parlimen Sepanggar (Warisan) menambah, kajian khas juga sedang dilakukan berhubung bilik khas untuk proses dokumentasi, ikat jamin polis, laporan perubatan serta beberapa prosedur lain.
“Pihak polis juga akan menjalani latihan khas bagi menangani kes-kes orang kurang upaya pada masa hadapan.
“Pada masa yang sama, KDN juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta beberapa NGO yang berkaitan dengan golongan istimewa ini untuk memperhalusi SOP sedia ada.
“Dengan pemerintahan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH), sekurang-kurangnya kita komited untuk memastikan golongan OKU sentiasa diberi perhatian,” ujarnya. –MalaysiaGazette