Home Ekonomi Ringgit terus merosot berbanding dolar

Ringgit terus merosot berbanding dolar

ringgit-campur

KUALA LUMPUR – Ringgit meneruskan aliran menurun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal hari ini berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) bulan depan telah mengekang permintaan untuk mata wang tempatan.

Pada 9.17 pagi, ringgit berada pada 4.1940/1970 berbanding dolar AS daripada 4.1860/1900 ketika ditutup semalam.

Peniaga berkata, dolar AS meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh 16 bulan semalam memandangkan peserta pasaran amat yakin bahawa Fed akan menaikkan kadar faedah bulan depan, sekali gus memperbaharui kelemahan ringgit.

Beliau berkata, selain itu, harga minyak mentah yang rendah juga menjejaskan sentimen pelabur terhadap ringgit, kerana kemerosotan harga akan mempengaruhi hasil minyak dan gas negara.

Niaga hadapan minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras antarabangsa merosot US$1.20 kepada US$68.97 setong, manakala minyak mentah AS turun 82 sen kepada US$59.11 setong.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit didagangkan kebanyakannya rendah.

Ringgit tinggi berbanding euro kepada 4.7090/7128 daripada 4.7113/7175 ketika ditutup semalam.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0293/0319 daripada 3.0265/0299, lemah berbanding yen Jepun kepada 3.6903/6936 daripada 3.6739/6780 semalam, dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.3926/3969 daripada 5.3765/3833 semalam. – MalaysiaGazette

7078d65c9b8836a746a492b5cc5c378c?s=150&d=mp&r=g
+ posts