Home Nasional Tanpa SOSMA, POCA dan Pota, saya tidak dapat jamin negara akan selamat...

Tanpa SOSMA, POCA dan Pota, saya tidak dapat jamin negara akan selamat – Muhiyiddin

Muhyiddin
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin

KUALA LUMPUR – Walaupun sebelum ini mendapat pelbagai tentangan terhadap akta-akta yang dianggap tidak demokratik dan menindas sehingga wujudnya keperluan untuk pemansuhan, namun kerajaan masih belum membuat keputusan keputusan mengenainya.

Malah menurut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pemansuhan akta-akta pencegahan itu tidak akan memberi sebarang jaminan keselamatan negara akan ‘kekal terjamin’ seperti sebelum ini.

Kata Muhyiddin, akta-akta seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 sebenarnya membantu mengekalkan keselamatan negara seperti sekarang.

“Saya tidak dapat menjamin dengan menghapuskan akta-akta pencegahan ini, kita mampu mengekalkan keselamatan negara yang aman sebelum ini akan kekal.

“Saya berpendapat semua akta-akta ini sangat penting yang juga telah mendapat kelulusan Parlimen berdasarkan perlembagaan sebelum dikuatkuasakan selepas itu. Namun begitu, wujud keperluan untuk kita buat kajian tentang akta-akta ini,” katanya ketika sesi pertanyaan di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Beliau mengulas pertanyaan Ahli Parlimen Petaling Jaya (PH), Maria Chin dan Ahli Parlimen Pontian (BN), Datuk Ahmad Maslan berhubung status serta keputusan kerajaan dalam mengekalkan atau memansuhkan akata-akta pencegahan itu kelak.

Jelas Muhyiddin, kebanyakan akta itu digubal di bawah Perkara 149 Perlembagan Persekutuan untuk membolehkan pihak berkuasa membawa penjenayah dan pengganas ke muka pengadilan tanpa proses perundangan biasa.

“Ini kerana proses perundangan biasa memerlukan bukti yang jelas dengan kehadiran saksi ke mahkamah untuk keterangan serta diperiksa balas oleh peguam tertuduh.

“Bagi kes-kes yang melibatkan keselamatan, keterangan yang melibatkan kesalahan keselamatan, keterangan boleh dari saksi berbentuk risikan dan tidak boleh didedahkan secara terbuka di mahkamah,” jelasnya.

Dalam pada itu Muhyiddin menambah, rata-rata umum terutamanya pemegang taruh yang sebelum ini merasakan akta-akta seperti SOSMA, POCA dan Pota sebenarnya zalim dan bersifat menindas hak asasi kemanusian.

“Oleh yang demikian, kerajaan kini sedang dalam proses kajian terakhir bagi tujuan penambahbaikan. Sebuah jawatankuasa khas yang dikenali sebagai ‘Jawatankuasa Teknikal Kajian Undang-Undang Berkait Keselamatan’ telah ditubuhkan untuk meniliti secara terperinci.

“Antara yang dalam proses kajian ketika ini untuk tujuan tambahbaik akta-akta ini termasuk tempoh tahanan yang dilihat sangat panjang, kuasa polis yang sangat luas sehingga salahguna kuasa serta semakan kehakiman yang terhad.

“Kita juga sudah berada pada tahap akhir sebelum laporan kajian ini diserahkan kepada Jabatan Negara sebelum ke Jemaah Menteri dan ke Parlimen, saya jangka jika bukan sidang ini, mungkin sebelum penghujung Mac tahun depan,” ujarnya. –

Sebelum ini, Pakatan Harapan menyenaraikan 10 akta dan peruntukan undang-undang yang akan dimansuhkan sekiranya menjadi kerajaan.

Antara akta yang disenaraikan ialah Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, hukuman gantung mandatori, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Kesalahan keselamatan Langkah-langkah Khas 2012 (Sosma);Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Pota. –MalaysiaGazette