Home Politik Tiada pemilihan semula tiga cabang, perubahan jumlah undi mungkin berlaku

Tiada pemilihan semula tiga cabang, perubahan jumlah undi mungkin berlaku

Tiga cabang di Sabah dan Sarawak yang ditangguhkan baru-baru ini dianggap selesai.
Tiga cabang di Sabah dan Sarawak yang ditangguhkan baru-baru ini dianggap selesai.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR memutuskan untuk tidak mengadakan semula proses pemilihan undi bagi Cabang Julau di Sarawak yang ditangguhkan Sabtu lalu berikutan masalah teknikal.

Laporan dari JPP itu menyatakan, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan pada analisis hasil kiraan undi membuktikan semua data selamat dan berjaya dimuatnaik ke pelayan sistem (cloud).

“Walaupun terdapat aplikasi e-undi pada enam unit tablet yang disapu bersih oleh perisian Prey Anti-Theft, tetapi data di dalamnya selamat.

“Perincian undi yan direkodkan dan analisa teknikal menunjukkan tiada undi yang tercicir dan keputusan pengundian tersebut sebenarnya boleh diterima pakai,” kata laporan itu, hari ini.

Menurut kenyataan itu, oleh yang demikian, keputusan pemilihan untuk Cabang Julau akan dimuatnaik dalam portal rasmi pemilihan parti www.pemilihankeadilan2018.com dalam masa terdekat.

Sementara itu, berhubung keputusan pemilihan semula Cabang Tawau dan Pensiangan di Sabah, laporan itu menyatakan, ada bacaan negatif pada ruangan Bilangan Lertas Undi Yang Tidak Dikembalikan, iaitu terdapat lebihan kertas undi digital yang diterima oleh pelayan sistem berbanding jumlah slip undi yang dikeluarkan oleh mesin QR.

“Semakan pada pangkalan data menunjukkan rekod beberapa tablet yang digunakan pada hari pengundian semula itu tidak dikemaskini ke versi aplikasi e-undi yang terkini iaitu “ver8.0(34)”.

“Oleh itu, data undian baru pada 11 November lalu telah bercampur dengan data undian yang dijalankan pada 4 dan 5 November dalam sistem pangkalan data,” menurut laporan itu.

Bagaimanapun, walaupun data yang diterima oleh sistem e-undi bercampur baur, ia masih boleh diguna pakai dan tidak korup, tetapi harus melalui kaedah penyisihan dan penyusunan semula data yang tersimpan dalam pangkalan utama (master) dan sandaran (backup).

Kata laporan itu lagi, sistem e-undi mampu melakukannya kerana setiap data undi telah pun dilabelkan dengan tempat, masa dan tarikh undian.

“Adalah dimaklumkan bahawa proses penyisihan dan penyusunan semula data ini akan mengambil sedikit masa dan sudah pasti hasilnya nanti akan merubah jumlah undi yang diterima oleh setiap calon, sekali gus dapat menyelesaikan isu bacaan negatif dalam penyata undi bagi setiap cabang terbabit.

“Dengan ini, JPP merumuskan, integriti data pengundian bagi pemilihan semula di Cabang Tawau dan Pensiangan sebenarnya boleh diterima pakai dan akan dimuatnaikkan dalam portal rasmi pemilihan parti,” kata laporan itu. – MalaysiaGazette